IPOH, 28 Dis – Atlet Perak berpotensi untuk dijadikan duta khas produk atau mana-mana syarikat usahawan sebagai peluang untuk menambah pendapatan selain menampung kos sara hidup mereka, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), diberitahu.

Datuk Zainol Fadzi Paharudin (BERSATU-Sungai Manik) berkata bagi mencapai peringkat tersebut, golongan atlet tersebut memerlukan jaringan kerjasama melibatkan kerajaan negeri, Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STEP) dalam pembangunan atlet di peringkat awal sebelum bergelar profesional.

“Hasil kerjasama khas ini membolehkan mereka mendapat tajaan agar tidak bersara awal atau boleh digunakan sebagai simpanan. Rata-rata selepas (atlet) habis bermain, mereka akan hilang arah dalam meneruskan. Jika melanjutkan pelajaran ke peringkat pendidikan tinggi, mereka akan mempunyai peluang dan platform untuk meneruskan bakat dan kebolehan yang dimiliki.

“Ramai yang telah melakarkan kejayaan yang cemerlang seperti atlet Muay Thai negeri, Mohammad Rifdean Masdor yang telah menyumbang emas di Sukan SEA 2019 seawal umur 17 tahun sebelum bergelar Juara Remaja Dunia dan terkini memperolehi pingat emas untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 pada usia 20 tahun. Atlet sebegini perlu diberi perhatian,” katanya.

Berucap sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023, pada Selasa, Zainol Fadzi berkata kebajikan para atlet ini perlu diberi perhatian kerana telah mewakili negeri selain tawaran sumbangan pendidikan yang akan menaikkan semangat kepada rakan atlet yang lain.