Saya merujuk kepada laporan media antarabangsa berkenaan perkembangan di dalam bidang perundangan berkaitan usaha yang sedang diambil beberapa buah negara dalam berhadapan dengan permasalahan lesbian, gay, bisexual, transgender and queer (LGBTQ).

Pihak ARMADA menyambut baik atas tindakan Parlimen Russia (Duma) dalam meluluskan pindaan terhadap undang-undang propaganda anti LGBTQ dan tindakan Parlimen Indonesia yag mengemaskini kod kriminal negara Indonesia yang menjadikan hubungan seksual tanpa ikatan perkahwinan sebagai suatu tindakan jenayah.

Pindaan undang-undang anti LGBTQ Russia diambil kerana undang-undang asal yang diluluskan pada 2013 memfokuskan kepada membendung penyebaran budaya LGBTQ dalam kalangan kanak-kanak sahaja dan pindaan terbaru ini akan turut merangkumi pencegahan terhadap golongan dewasa juga. Pindaan di Indonesia menurut jurucakap pasukan perhubungan rang undang-undang kanun jenayah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Encik Albert Aries adalah untuk melindungi institusi perkahwinan.

Kami di pihak ARMADA percaya sudah sampai masa untuk Malaysia mengambil langkah yang sama dan lebih proaktif dalam melindungi keluarga nukleus di Malaysia. Data daripada JAKIM menunjukkan peningkatan jumlah golongan gay meningkat hampir 100% iaitu seramai 310,000 individu pada tahun ini daripada 173,000 individu lima tahun lalu dan ini menjadi antara penyumbang utama kes penceraian di Malaysia.

Gaya hidup songsang ini turut merupakan antara penyumbang utama kepada peningkatan kes jangkitan HIV di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Mengikut laporan “In Danger: UNAIDS Global AIDS Update 2022” untuk tahun 2022 menyatakan terdapat peningkatan ketara jangkitan HIV dan AIDS di 38 buah negara dari tahun 2015 dan gaya hidup songsang dinyatakan sebagai penyumbang utama. Ini disokong oleh data dari pusat kawalan penyakit (CDC) Amerika Syarikat yang menyatakan 70% dari jangkitan baru HIV di Amerika Syarikat pada tahun 2019 disumbang oleh pengamal gaya hidup songsang (gay).

Fakta daripada “Global AIDS Monitoring 2022” oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menyatakan secara jelas budaya seks sejenis menjadi punca utama penularan HIV akhir-akhir ini. Pada 1990, 60% jangkitan HIV berpunca daripada perkongsian jarum di kalangan penagih dadah dan hanya 5% daripada pengamal seks songsang. Pada 2010, 40% jangkitan berpunca daripada budaya seks songsang manakala faktor penagih dadah turun kepada 48%. Pada 2018, 57% jangkitan HIV berpunca daripada budaya seks songsang dan hanya 3% disebabkan oleh faktor penagihan dadah.

Pihak ARMADA percaya jika langkah yang lebih tegas tidak diambil, bukan saja negara akan dilanda kerosakan moral, malah juga krisis kesihatan akan berada di luar kawalan. Satu-satunya cara ialah untuk kita kembali kepada norma agama dan bangsa yang menolak faham sekularisme dalam beragama, kehidupan dan akhlak.

YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal
Ketua Armada BERSATU Malaysia
Ahli Parlimen Machang