KUALA LUMPUR, 29 Dis – BERSATU menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengosongkan kerusi mereka.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, notis itu adalah bagi memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan BERSATU Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden BERSATU telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota BERSATU.

“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti BERSATU,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Ronald yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah berkata, kenyataan pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor pada 2 November 2022 turut mengumumkan bahawa terdapat enam calon daripada parti BERSATU akan mewakili GRS untuk bertanding dalam PRU15.

“Bagaimanapun, pada 10 Disember 2022, Datuk Seri Hajiji Noor telah membuat satu kenyataan media yang menyatakan bahawa kesemua pemimpin parti BERSATU Sabah telah keluar daripada parti itu.

“Keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah Datuk Armizan Mohd Ali (Parlimen Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang),” katanya.

Ahli Parlimen Beluran itu turut berkata, pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember lalu, keempat-empat ahli Parlimen itu telah berada di blok kerajaan.

“Tindakan menyertai dan duduk di blok yang tidak menyokong parti BERSATU yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Presiden BERSATU dan Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang adalah ‘crossing the floor’ dan ia melanggar janji pilihan raya mereka kepada pengundi.

“Akibat daripada itu, keahlian mereka sebagai anggota parti BERSATU telah gugur mengikut perlembagaan parti dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat BERSATU bertarikh 21 Disember 2022,” katanya.

Tambah beliau, menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan, ahli-ahli Dewan Rakyat tersebut hendaklah terhenti menjadi ahli Dewan Rakyat dan kerusi mereka hendaklah dikosongkan.

“Selanjutnya telah dipohon juga kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat supaya perkara ini dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari dari tarikh penerimaan notis bertulis supaya proses pilihan raya dapat diatur bagi mengisi kekosongan tersebut,” tegasnya.