KUANTAN, 29 Dis – Perikatan Nasional (PN) Pahang menubuhkan portfolio tumpuan bagi membayangi kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Negeri.

Pengerusi PN Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, penubuhan protfolio terbabit sebagai satu petanda bahawa PN serius untuk menjadi pembangkang yang konstruktif.

“Kita membariskan 18 portfolio yang akan dipegang oleh kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN negeri sebagaimana Kerajaan Negeri ada Menteri Besar dan 10 Exco dengan 18 portfolio.

“Setiap satu portfolio akan diketuai seorang ADUN, namun ketua pembangkang akan memegang dua portfolio. Jadi, pelbagai perkara dibawa dalam dan luar Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh diselarakan secara khusus di mana setiap ADUN memainkan peranan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar di Pejabat Sekretariat PN Pahang di Jalan Pintasan Kuantan di sini pada Khamis.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota turut memaklumkan PN telah menubuhkan sekretariat bagi meningkatkan prestasi ADUN PN dalam menjalankan amanah, tugas dan tanggungjawab.

Tambah Saifuddin, sekretariat ini diketuai ADUN Beserah, Andansura Rabu bersama setiausaha kerja, ketua penyelidik dan beberapa anggota penyelidikan daripada pelbagai bidang berkaitan.

Menurutnya, selain itu, jawatan penyelaras DUN dan Parlimen akan wujudkan.

“Bagi kawasan kami belum menang sama ada parlimen atau DUN, kami akan melantik penyelaras dan sebahagian daripada mereka mungkin calon yang tidak menang serta tokoh baharu yang ingin kami ketengahkan.

“Perancangan ini dibuat bagi memastikan semua urusan perkhidmatan kepada rakyat dapat diteruskan,” ujar beliau.

Sementara itu, menerusi portfolio tumpuan yang diperkenalkan, ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dilantik sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan memegang dua portfolio iaitu Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta portfolio Sumber Asli, Tenaga dan Air.

Ia diikuti ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar yang juga merupakan Pesuruhjaya Pas Pahang memegang portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga.

Andansura pula memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian manakala ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus memgang portfolio Belia, Sukan dan Kebudayaan.

Senarai portfolio tumpuan:

Industri Asas Tani, Bioteknologi – ADUN Lanchang, Hassan Omar

Pendidikan dan Kesihatan – ADUN Chenor, Mujibur Rahman Ishak

Hal Ehwal Agama – ADUN Bukit Ibam, Nazri Ahmad

Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli – ADUN Tahan, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin

Kerja Raya dan Pengangkutan – ADUN Pulau Manis, Mohammad Rafiq Khan Ahmad Khan

Kerajaan Tempatan dan Perumahan – ADUN Kuala Sentul, Jasri Jamaludin

Alam Sekitar dan Teknologi Hijau – ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Komunikasi Dan Multimedia – ADUN Panching, Mohd Tarmizi Yahya

Belia, Sukan Dan Kebudayaan – ADUN Lepar, Mohd Yazid Mohd Yunus

Pelaburan, Perindustrian – ADUN Beserah, Andansura Rabu

Sains, Teknologi Dan Inovasi – ADUN Damak, Zuridan Mohd Daud

Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita Dan Keluarga – ADUN Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar

Hal Ehwal Pengguna Dan Sumber Manusia – ADUN Sungai Lembing, Ayub Ashri

Perpaduan, Pelancongan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan – ADUN Luit, Mohd Sofian Abdul Jalil

Hal Ehwal Felda, Usahawan dan Koperasi – ADUN Jengka, Shahril Azam Abd Halim

Ekonomi da Peladangan, Komuniti – ADUN Pulau Tawar, Yohanis Ahmad

Sumber Asli, Tenaga dan Air – ADUN Cheka, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man

Kewangan dan Tanah – ADUN Kuala Semantan, Hasanuddin Salim