IPOH, 29 Dis – Buat pertama kalinya Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Negeri Perak dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang merupakan wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) dipilih secara sebulat suara di dalam DUN setelah Usul Melantik Keanggotaan Ahli Jawatankuasa PAC dikemukakan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PH-Sungai Rapat) sebelum diluluskan.

Selain Zainol Fadzi, turut dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa PAC termasuklah Jason Ng Thien Yeong (PH- Astaka), Angeline Koo Haai Yen (PH-Keranji), Muhammad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta), Azman Noh (BN-Pengkalan Baharu), Mohd Hafez Sabri (PN-Manjoi) dan Noor Azman Ghazali (PN-Alor Pongsu).

Dalam pada itu, lima lagi usul turut dibentangkan iaitu Usul Melantik Keanggotaan Ahli Jawatankuasa Perintah-Perintah Tetap, Usul Melantik Keanggotaan Ahli Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, Usul Melantik Keanggotaan Ahli Jawatankuasa Kebajikan Ahli, Usul Melantik Keanggotaan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Bangunan Baharu Dewan Negeri Perak serta Usul Melantik Keanggotaan Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Bagi Mengkaji Enakmen-Enakmen Negeri Perak.

Keanggotaan semua jawatankuasa berkenaan melibatkan semua ADUN kerajaan dan pembangkang.

Sementara itu, kesemua usul berkenaan diluluskan sebulat suara tanpa perbahasan sebelum Sidang DUN Perak ditangguhkan oleh Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.