KUALA LUMPUR, 31 Dis – Kerajaan diharap mengambil langkah segera bagi memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu COVID-19 sudah dikesan di beberapa negara lain, selain meringankan beban kos sara hidup yang membelenggu masyarakat kini.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata usaha itu perlu serta penting, terutama ketika negara dijangka menghadapi suasana ekonomi lebih mencabar pada tahun depan.

“Golongan miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup. Lebih 60 peratus penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin serta berpendapatan rendah. Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan.

“Saya menggesa supaya Perdana Menteri segera memberi tumpuan kepada perkara penting ini menerusi langkah yang mesti diputuskan oleh Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan agensi kerajaan berkaitan.

“Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah serta dapat menjalani kehidupan dalam keadaan aman, selamat dan sejahtera,” katanya dalam hantaran melalui Facebook beliau, hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri turut menasihati orang ramai mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menghindari jangkitan COVID-19, termasuk keperluan mengambil suntikan vaksin dos penggalak.

“Jaga diri, jaga kesihatan, terutama dalam keadaan jangkitan COVID-19 masih berlaku dalam komuniti kita,” katanya.

Muhyiddin turut mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2023 dan berdoa semoga rakyat di negara ini memasuki tahun baharu dalam suasana aman, damai serta ceria.

“Sempena tahun baharu 2023, saya dan keluarga mendoakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dalam mengejar azam serta impian masing-masing.

“Saya percaya setiap daripada kita sudah melalui 2022 dengan pelbagai peristiwa suka duka dan pahit manis yang pastinya menjadi kenangan serta iktibar buat kita semua.

“Orang kata hari semalam adalah memori, hari ini adalah realiti dan hari esok masih misteri. Begitulah kehidupan kita.

“Apa yang kita lalui itu jadikan pedoman dan pengajaran. Bersyukur atas segala kejayaan yang kita capai. Bersyukur juga atas segala dugaan yang kita hadapi kerana semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Jatuh bangun dalam hidup adalah perkara biasa. Yang penting bukan bagaimana kita jatuh, tetapi bagaimana kita mengumpul kekuatan untuk bangkit semula dan melangkah ke hadapan dengan yakin dan gagah untuk mengejar impian kita,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau tahu dalam tempoh setahun dua yang lalu, ramai mengalami kesukaran hidup akibat pandemik yang melanda negara.

“Hari ini pun masih ramai sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup tinggi dan permasalahan lain yang membelenggu. Namun, kita tidak boleh lemah semangat atau berputus asa.

“Kini masanya untuk kita bingkas bangun semula dengan lebih tangkas. Saya percaya dalam tempoh pemulihan ini, peluang ada di mana-mana untuk kita memajukan diri dan keluarga asalkan kita sanggup berusaha. Insya-Allah, selagi mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

“Saya sendiri sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah SWT buat diri saya dan keluarga. Perjalanan hidup saya seperti anda juga, tidaklah selalunya senang. Banyak cabaran dan dugaan dihadapi. Semua liku hidup dilalui itu sebenarnya mendewasakan kita.

“Segala kesukaran yang kita alami semalam menjadi bekalan untuk memperkuatkan semangat menghadapi hari esok dengan lebih berjaya. Apa yang penting, jangan berputus asa dalam menggapai impian kita.

“Terutama sekali anak-anak muda yang masih mempunyai perjalanan hidup yang jauh, yakinlah dengan potensi diri dan sentiasalah berusaha untuk memperbaiki pencapaian anda. Kita boleh mencapai apa yang kita mahukan kerana kita yang menentukan masa depan kita,” katanya.