Sudah sampai masanya kita melangkah ke tahun 2023 dan menutup tirai 2022.

Tahun 2022 menyaksikan kebenaran terserlah dan kepalsuan lakonan terdedah.

Sumpah wallahi wabillahi watallahi ‘No Anwar, No DAP’ yang dilaungkan oleh UMNO ditukar menjadi ‘Love Anwar, Love DAP.’ Buku-buku sejarah politik bakal merekodkan bahawa pada tahun 2022 UMNO menjulang parti berideologi kiri DAP dan mensucikan falsafah Malaysian Malaysia. Rakyat bertanya adakah UMNO masih relevan?

Tahun 2022 merekodkan betapa agenda Reformasi hanya lakonan murah mereka yang kini leka bersekedudukan dengan kleptokrat dan perasuah. Benarlah bahawa kuasa dan jawatan boleh membuat manusia menjual maruah. Rakyat telah sedar lakonan Reformasi dipelopori PKR sudah masuk tong sampah.

Tahun 2022 juga merekodkan betapa masih ada sekelompok pejuang yang masih tegar dengan idealisme perjuangan. Perikatan Nasional bertegas tidak berkompromi dengan maksiat dan kerosakan.

Dengan 74 kerusi parlimen, Perikatan Nasional kekal berprinsip, bersih, berintegriti, berkaliber, dan berwibawa serta memilih untuk terus memperjuangkan kebajikan rakyat.

Ramai pakar ekonomi menjangka ekonomi Malaysia dan dunia akan mencabar pada tahun 2023. Memburukkan lagi keadaan, perang Russia-Ukraine dijangka bakal mengheret Belarus serta Poland. Kesan kepada ekonomi Malaysia pasti ada dan rakyat pasti terkesan. Kerajaan PH-BN yang tidak kompeten ini masih belum ada idea apa yang harus dilakukan.

Tahun 2023 juga akan menyaksikan apa akan jadi kepada kedaulatan undang-undang di Malaysia.

Dalam tahun 2023, rakyat akan menilai apa yang bakal berlaku kepada kes-kes mahkamah Zahid Hamidi dan sekutu kluster mahkamahnya. Anwar Ibrahim dan PH kini menyayangi “kluster mahkamah” dan sedang mensucikan UMNO kerana mahu duduk serumah. Tapi rakyat akan menilai adakah kedaulatan undang-undang negara akan dirosakkan oleh PH demi untuk membela kekasih baru mereka UMNO.

Rakyat juga akan menilai tindakan Speaker Dewan Rakyat berkaitan empat orang Ahli Parlimen Sabah yang jelas telah melompat parti. Adakah PH-BN akan mempertahankan konsep kedaulatan undang-undang, atau adakah kerajaan PH-BN ini akan melenturkan undang-undang untuk menjaga kepentingan diri. Keputusan Speaker nanti adalah petanda awalnya.

BERSATU perlu segera membuktikan bahawa kita mampu menghasilkan cadangan dasar-dasar alternatif yang berkualiti untuk mengurangkan bebanan rakyat, disamping cekap mengenalpasti kelemahan kerajaan yang perlu diperbaiki. Jika di Britain, pembangkang dipanggil “His Majesty’s Most Loyal Opposition”. Maksudnya, dalam konteks Malaysia, menjadi tanggungjawab pembangkang untuk tidak bersetuju dengan kerajaan dan mencari idea-idea alternatif, dalam rangka memenuhi amanah yang diberikan oleh negara.

Pembinaan kekuatan dalaman parti pula mesti menjadi keutamaan BERSATU. Proses latihan, perkaderan, pembentukan cawangan baru, pengukuhan Cawangan dan Bahagian, semuanya perlu diberi perhatian dan diusahakan.

Baik pemimpin Cawangan, Bahagian, Negeri mahupun Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, semuanya mesti memainkan peranan untuk memperkukuh parti. Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi mesti turun padang membantu Bahagian-Bahagian, terutama dalam menghadapi Pilihanraya Negeri tak lama lagi.

BERSATU mesti sedar bahawa kita menang banyak kerusi hasil sokongan GENERASI BARU politik negara. Saya lebih suka menggunakan perkataan “generasi baru” berbanding “anak muda”. Pendaftaran pengundi secara automatik menghasilkan jutaan pengundi baru yang bukan dari golongan muda sahaja, tetapi sebenarnya pelbagai lapisan usia.

Generasi Baru menolak rasuah, menolak politik wang, dan menolak politik menipu demi kuasa. Sebaliknya Generasi Baru mahukan budaya politik baru, budaya yang bersih dan budaya prihatin kepada nasib rakyat. Generasi Baru mahukan peluang dan platform untuk mereka turut mendekati dan membantu rakyat.

BERSATU mesti menyahut keinginan Generasi Baru ini dan menerima mereka dengan tangan terbuka. Beri ruang kepada Generasi Baru untuk memainkan peranan dalam parti. Lantik mereka ke jawatan-jawatan yang sesuai dalam parti dan bantu mereka untuk naik, supaya mereka boleh berperanan membasmi budaya tak sihat sekiranya ada, dan membawa budaya yang lebih segar dalam parti.

BERSATU ada amanah penting yang wajib ditunaikan. Kita mesti menjadi alternatif sebenar untuk negara. Dan kita mesti berani membuat pilihan yang betul walaupun sukar, demi kebaikan jangka panjang untuk parti. Yang mana perlu dibersihkan, bersihkanlah. Yang mana perlu diperkukuh, perkukuhkanlah.

Semoga kita semua sentiasa dalam keadaan sihat, diberkati, dimurahkan rezeki dan tabah menghadapi segala cabaran mendatang.

Selamat Tahun Baru 2023.

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia
31 Disember 2022