Esok kita akan melangkah ke tahun baharu 2023 dan saya ingin melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan kurnia-Nya kita dapat memasuki tahun baharu dalam suasana yang aman, damai dan ceria.

Saya percaya setiap daripada kita telah melalui tahun 2022 dengan pelbagai peristiwa suka duka dan pahit manis yang pastinya menjadi kenangan dan iktibar buat kita semua.

Orang kata hari semalam adalah memori, hari ini adalah realiti dan hari esok masih misteri. Begitulah kehidupan kita.

Apa yang telah kita lalui itu jadikan pedoman dan pengajaran. Bersyukur atas segala kejayaan yang kita capai. Bersyukur juga atas segala dugaan yang kita hadapi kerana semua yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Jatuh bangun dalam hidup adalah perkara biasa. Yang penting bukan bagaimana kita jatuh, tetapi bagaimana kita mengumpul kekuatan untuk bangkit semula dan melangkah ke hadapan dengan yakin dan gagah untuk mengejar impian kita.

Saya tahu dalam tempoh setahun dua yang lalu, ramai daripada kita mengalami kesukaran hidup akibat pandemik yang melanda negara. Hari ini pun masih ramai yang sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup yang tinggi dan permasalahan lain yang membelenggu.

Namun, kita tidak boleh lemah semangat atau putus asa. Kini masanya untuk kita bingkas bangun semula dengan lebih tangkas. Saya percaya dalam tempoh pemulihan ini peluang ada di mana-mana untuk kita memajukan diri dan keluarga asalkan kita sanggup berusaha.

Insya-Allah, selagimana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Saya sendiri sentiasa bersyukur dengan kurniaan Allah s.w.t buat diri saya dan keluarga. Perjalanan hidup saya seperti anda juga tidaklah selalunya senang. Banyak cabaran dan dugaan yang dihadapi. Semua liku-liku hidup yang dilalui itu sebenarnya mendewasakan kita.

Segala kesukaran yang kita alami semalam menjadi bekalan untuk memperkuatkan semangat menghadapi hari esok dengan lebih berjaya. Yang penting jangan putus asa dalam menggapai impian kita.

Terutama sekali anak-anak muda yang masih mempunyai perjalanan hidup yang jauh. Yakinlah dengan potensi diri dan sentiasalah berusaha untuk memperbaiki pencapaian anda. The sky is your limit. You can achieve anything if you want to.

Sempena Tahun Baharu 2023, saya dan keluarga mendoakan semoga anda semua diberikan kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan dalam mengejar azam dan impian masing-masing.

Jaga diri, jaga kesihatan, terutamanya dalam keadaan jangkitan COVID-19 yang masih berlaku di dalam komuniti kita.

Saya berharap kerajaan dapat mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan rakyat selamat daripada jangkitan varian baharu COVID-19 yang dikesan di beberapa buah negara. Sayugia saya ingin menasihatkan supaya anda semua sentiasa mematuhi nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia berhubung cara-cara untuk menghindari jangkitan COVID-19, termasuk keperluan untuk mengambil suntikan dos penggalak.

Saya juga berharap agar kerajaan dapat segera melaksanakan langkah-langkah untuk meringankan beban kehidupan rakyat, lebih-lebih lagi dalam menghadapi suasana ekonomi yang dijangka lebih mencabar pada tahun hadapan.

Golongan yang miskin semakin bertambah akibat kesempitan hidup. Lebih 60% penduduk negara kita sebenarnya tergolong dalam kumpulan miskin dan berpendapatan rendah. Mereka memerlukan pembelaan segera daripada kerajaan.

Saya menggesa supaya Perdana Menteri segera memberi tumpuan kepada perkara penting ini menerusi langkah-langkah yang mesti diputuskan oleh Majlis Kos Sara Hidup Kebangsaan dan dilaksanakan oleh agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.

Marilah kita sama-sama berdoa semoga negara kita dilindungi daripada sebarang musibah dan kita semua dapat menjalani kehidupan dalam keadaan yang aman, selamat dan sejahtera.

Selamat menyambut Tahun Baharu 2023!

Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin
Presiden BERSATU
31 Disember 2022