Seperti yang dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kemeterian Kesihatan Malaysia, sehingga 31 Disember 2022 sebanyak 4,152 kes varian BA.5.2 dan 3 kes varian BF.7 direkodkan di seluruh negara.

Ramai rakan-rakan di media sosial yang melahirkan rasa risau dan bimbang berkenaan perkembangan kes COVID-19 di serata dunia, terutamanya di negara China.

Ada yang mencadangkan agar Malaysia menutup sempadan atau menghalang kemasukan pengembara dari negara China di pintu-pintu masuk negara.

Kerajaan harus segera mengeluarkan SOP yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin, terutamanya bagi menjaga nyawa rakyat.

SOP tersebut mestilah bersifat mencegah (preventive) agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan.

Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.

SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam (national health care system).

Kerajaan wajar dengan segera mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

DATO’ SERI HAMZAH BIN ZAINUDIN
Ketua Pembangkang
Ahli Parlimen Larut
4 Januari 2022