KUALA LUMPUR, 4 Jan – Pembangkang akan mewujudkan mekanisme semak dan imbang yang kukuh bagi memastikan kerajaan dapat memenuhi jangkaan pelbagai pihak.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata Perikatan Nasional (PN) akan menubuhkan kumpulan pemantau dalam kalangan blok pembangkang itu menjelang minggu depan, yang bertanggungjawab mengawasi setiap menteri dan mengkritik mereka jika gagal menguruskan isu nasional dengan baik.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, kumpulan pemantau berkenaan akan turut membawa idea baharu dan mengusulkan penyelesaian untuk isu yang memerlukan perhatian, jika anggota kerajaan gagal memberi maklum balas secepat mungkin dan mampu menyelesaikan masalah.

Menurut Hamzah, wakil kumpulan pemantau itu juga sedia bertemu media, khususnya jika pihak menteri dan timbalan menteri gagal memberi maklum balas pada persoalan yang dibangkitkan pembangkang, sekali gus menjadi sumber maklumat alternatif untuk media.

“PN mahu menjadi blok pembangkang yang berkhidmat untuk negara dan kepentingan rakyat. Kami bekerja untuk rakyat dan akan memastikan segala perkara berjalan selaras dengan dasar kerajaan.

“Jika dasar tidak diuruskan dengan baik, kami pasti akan mempersoalkannya demi kebaikan negara,” katanya, memaklumkan perkara itu akan dibincang oleh pimpinan PN dalam masa terdekat.

Beliau berkata demikian pada siri perbincangan anjuran Kelab Concorde yang pertama tahun ini.

Kelab Concorde adalah forum yang membincangkan isu semasa membabitkan panel terpilih yang digerakkan oleh beberapa wartawan veteran, termasuk Pengarang Kumpulan dan Penasihat Hal Ehwal Korporat Kumpulan Media Star, Datuk Seri Wong Chun Wai.

Yang turut hadir, Pengarang Kumpulan NST, Farrah Naz Karim.

PN menjadi gabungan pembangkang di Parlimen dan diwakili oleh 74 Ahli Parlimennya.

Mereka yang berpengalaman sebagai menteri dan timbalan menteri itu dijangka mengetuai dan membarisi kumpulan pemantau pembangkang.

Mengulas lanjut, Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata, pembangkang hanya akan menyokong dasar kerajaan jika pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu kekal di landasan yang tepat.

Tegasnya, kerajaan dan pembangkang perlu duduk berbincang bersama-sama apabila perlu supaya sebarang keputusan yang dibuat akan berterusan untuk jangka panjang.

“Kita perlu benarkan mereka bekerja dan menstabilkan ekonomi terlebih dahulu.

“Jika rakyat puas hati, mereka akan kekal. Jika mereka gagal, maka akan wujud ketidakstabilan politik,” katanya.