KANGAR, 4 Jan – Pengusaha, penyelia, pekerja dan pengendali kedai makanan dan minuman di negeri ini diwajibkan memakai pelitup muka berikutan penularan varian baharu COVID-19.

Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata, kerajaan negeri mengikuti dan memantau perkembangan penularan COVID-19 berikutan terdapat pelancong China membawa varian baharu dan dikesan sudah berada di Malaysia.

“Sehubungan itu, kita turut mengambil beberapa langkah pencegahan untuk bersama-sama mengambil panduan bagi mengelakkan penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pada masa sama orang awam turut digalakkan memakai pelitup muka ketika berada di tempat awam atau tempat sesak.

“Orang awam digalakkan sentiasa mencuci tangan atau mengamalkan kembali penggunaan ‘hand sanitizer’ ketika atau selepas berurusan di tempat awam.

“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap situasi rakyat yang berhadapan dengan kesusahan dan cabaran ketika penularan wabak ini dahulu,” katanya.

Mohd Shukri berharap rakyat Perlis sentiasa peka serta dalam keadaan berjaga-jaga dan berhati-hati supaya wabak ini tidak menular terutama di negeri itu.

Setakat semalam, Perlis mencatatkan satu kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 18,926 kes sejak penularan tiga tahun lalu.