Kami merujuk kepada perlantikan Farhash Wafa Salvador, bekas setiausa politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sebagai pengerusi rantaian 7-Eleven kepunyaan Vincent Tan serta perlantikannya minggu lepas juga sebagai Pengerusi Eksekutif Kumpulan Apex Equity.

Kesemua ini berlaku dalam masa sebulan lebih sahaja setelah Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri. Ianya adalah pengetahuan umum bahawa Farhash adalah sekutu rapat Anwar Ibrahim dan juga bekas setiausaha politik beliau.

Perlantikan Farhash untuk jawatan-jawatan besar ini sebaik sahaja selepas Anwar Ibrahim diangkat ke Pejabat Perdana Menteri adalah suatu yang bertentangan dengan prinsip tata-kelola yang baik didalam negara ini, dan adalah suatu perkara yang jijik dan dipandang serong. Mana pergi janji-janji yang dilaungkan oleh Pakatan Harapan untuk tata-kelola yang baik dan integriti dalam mentadbir negara? Perlantikan Farhash adalah bukti bahawa agenda “reformasi” yang dilaung-laungkan oleh PH dan Anwar sekian lama adalah bohong dan merupakan taktik politik untuk memperdaya pengundi.

Kami menyeru Anwar Ibrahim untuk tidak terus membisu dalam isu jawatan-jawatan baru Farhash ini dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia adalah konsisten kepada konsep reformasi dan tata kelola yang baik. Majlis Pimpinan Tertinggi PH, yang selama ini telah mencanangkan nilai-nilai ini untuk bertahun-tahun semasa menjadi pembangkang, juga wajib menjelaskan pendirian mereka atas jawatan-jawatan Farhash ini.

Paling penting, apakah Anwar selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri, akan memberitahu rakyat jika ada lagi perlantikan seperti ini, sama ada melibatkan Farhash atau sekutu-sekutu rapat Anwar yang lain, yang bakal diumumkan?

YB Mej Jen Dato Hj Khlir bin Hj Mohd Nor (B)
Ahli Parlimen Ketereh