KUALA LUMPUR, 4 Jan – Kerajaan wajar bertindak segera dengan mengaktifkan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan semua jabatan dan agensi kerajaan bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan penularan varian baharu COVID-19, terutamanya di negara China.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan juga harus segera mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang jelas bagi memastikan kepentingan negara terjamin, terutamanya bagi menjaga nyawa rakyat.

Katanya, ini berikutan ada yang mencadangkan agar Malaysia menutup sempadan atau menghalang kemasukan pengembara dari negara China di pintu-pintu masuk negara.

“SOP tersebut mestilah bersifat mencegah (preventive) agar penularan varian tersebut dapat dibendung dengan berkesan.

“Ianya haruslah adil kepada semua pihak bagi memelihara kelangsungan kehidupan rakyat, terutama mereka yang terlibat dalam industri pelancongan dan perniagaan.

“SOP tersebut juga mestilah mempunyai perincian yang mampu memantau serta menjejaki pengembara yang berada dalam negara dan mengambil kira keupayaan sistem kesihatan awam (national health care system),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan varian BA.5.2 dan BF.7 COVID-19 yang sedang menular di China, dikesan sudah berada di Malaysia dengan 4,148 kes dijangkiti BA.5.2 dan tiga kes BF.7 setakat 31 Disember lalu.