KUALA LUMPUR, 5 Jan – Armada BERSATU mempersoalkan formula yang digunakan oleh kerajaan PH-BN kerana dapat menyelesaikan masalah harga daging babi dengan pantas, sedangkan masih gagal mengetasi isu kekurangan dan harga telur ayam.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata rakyat ingin tahu bagaimana kerajaan gabungan PH-BN mengawal harga daging babi dalam tempoh singkat.

Menurutnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberitahu bertemu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkaitan cadangan pengawalan harga daging babi yang akan dibawa ke mesyuarat Kabinet.

“Mereka membayangkan isu tersebut akan diselesaikan sebelum Tahun Baru Cina pada 22 Januari 2023. Ini tidak sampai sebulan daripada sekarang!

“Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 2021, Penggunaan per Kapita (PCC) dalam kalangan rakyat adalah lebih kurang sama antara daging babi (17.3) dengan telur ayam (20.8 ).

“Data Kadar Kebergantungan Import pada 2021, 7.1 peratus daripada penggunaan daging babi diimport daripada luar negara manakala negara langsung tidak mengimport telur ayam kerana kita pengeksport bersih telur ayam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bagaimanapun dalam pengumuman menerusi Twitternya membayangkan masalah ekonomi tidak dapat diselesaikan dalam tempoh satu bulan.

Katanya Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu telah pun mengimport telur ayam dari India walhal negara tidak memerlukan import telur ayam.

“Sampai sekarang, isu harga telur ayam masih gagal diselesaikan.

“Rakyat ingin tahu bagaimana pihak kerajaan mengawal harga daging babi dalam tempoh begitu singkat sedangkan Kebergantungan Import daging babi lebih teruk daripada telur ayam?

“Jika pihak kerajaan mempunyai ‘Formula Istimewa’ untuk menyelesaikan masalah daging babi dalam masa yang singkat, kenapa ‘Formula’ itu tidak digunakan untuk mengawal harga telur ayam?” katanya.