Dalam hantaran Facebook Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Salahuddin Ayub, beliau bertemu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin berkaitan cadangan pengawalan harga daging babi yang akan dibawa ke mesyuarat kabinet.

Mereka membayangkan isu tersebut akan diselesaikan sebelum Tahun Baru Cina pada 22 Januari 2023. Ini tidak sampai sebulan daripada sekarang!

Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia yang dikeluarkan pada 2021, Penggunaan per Kapita (PCC) di kalangan rakyat adalah lebih kurang sama antara daging babi (17.3) dengan telur ayam (20.8 ). Menurut data Kadar Kebergantungan Import pada 2021, 7.1 % daripada penggunaan daging babi diimport daripada luar negara manakala negara langsung tidak mengimport telur ayam kerana kita pengeksport bersih telur ayam.

Dalam pengumuman media dan Twitternya, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli membayangkan masalah ekonomi tidak dapat diselesaikan dalam tempoh 1 bulan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu telah pun mengimport telur ayam daripada India walhal negara tidak memerlukan import telur ayam. Sampai sekarang, isu harga telur ayam masih gagal diselesaikan.

Rakyat ingin tahu bagaimana pihak kerajaan mengawal harga daging babi dalam tempoh begitu singkat sedangkan Kebergantungan Import daging babi lebih teruk daripada telur ayam?

Jika pihak kerajaan mempunyai “Formula Istimewa” untuk menyelesaikan masalah daging babi dalam masa yang singkat, kenapa “Formula” itu tidak digunakan untuk mengawal harga telur ayam?

YB WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Ketua Armada BERSATU Malaysia