Saya mengalu-alukan pengumuman YAB Perdana Menteri bahawa Kerajaan telah meluluskan syor pengiktirafan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik dan seterusnya diberikan kuasa untuk menguruskan projek-projek pembangunan persekutuan pada kadar sehingga RM50 juta.

Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa kadar sehingga RM50 juta ini hanya akan membolehkan Sabah dan Sarawak melaksanakan projek-projek pembangunan tertentu yang tidak besar skalanya, di mana selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengiktirafan JKR Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik, adalah wajar sekiranya kadar ini ditingkatkan ke paras yang lebih tinggi supaya Sabah dan Sarawak mempunyai autonomi dalam melaksanakan projek-projek pembangunan lebih besar dan berimpak tinggi.

Saya berharap pengiktirafan JKR Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknik di bawah Arahan Perbendaharaan (AP 182) oleh Kerajaan bermaksud keseluruhan kuasa berkaitan akan diserahkan kepada Sabah dan Sarawak tanpa apa-apa syarat. Ini penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri merancang pembangunan dengan lebih efisien dengan mengurangkan sebarang birokrasi tertentu. Pada masa yang sama, saya berharap bahawa pengiktirafan yang sama juga dapat dilaksanakan ke atas Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah dan Sarawak.

Keputusan untuk mengiktiraf JKR Sabah dan Sarawak sememangnya telah diluluskan secara prinsip oleh Kerajaan sebelum ini melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan oleh mantan YAB Perdana Menteri tertakluk kepada penelitian lanjut Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu (JKRS) memandangkan beberapa sesi libat urus sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan bersama negeri pada masa itu sebelum dapat dimuktamadkan oleh MKMA63.

Walaupun keputusan pengiktirafan ini satu langkah ke hadapan, namun Sabah dan Sarawak juga memerlukan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk tingkatkan peruntukan pembangunan yang disalurkan saban tahun bagi membolehkan Sabah dan Sarawak mencapai tahap pembangunan yang setara dengan negeri-negeri lain. Hal ini penting memandangkan kawasan-kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak khususnya jauh ketinggalan dari segi pembangunan fizikal dan infrastruktur asas yang tentu sekali memerlukan peruntukan yang tinggi.

Saya juga menyambut baik keputusan Kerajaan untuk memperkasa Platform Perundingan Tertinggi sebagai Platform Agenda Tindakan Pelaksanaan Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) melalui Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang akan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri melibatkan Premier Sarawak serta Ketua Menteri Sabah.

Dalam hal ini, saya mencadangkan supaya Kerajaan kekalkan struktur dan peranan Jawatankuasa Kerja Rakan Sekutu, Jawatankuasa Kerja Keselamatan dan Jawatankuasa Kerja Sosioekonomi yang telah ditubuhkan di bawah MKMA63 sebelum ini memandangkan banyak perkara-perkara telahpun diperincikan sebagai isu-isu dalam perbincangan dan belum selesai (outstanding matters) di bawah jawatankuasa-jawatankuasa ini bersama-sama Sabah dan Sarawak. Kerajaan tidak perlu “reinvent the wheel” yang akan melewatkan lagi pelaksanaan tetapi memberi fokus terus untuk memuktamadkan dan menyegerakan pelaksanaan isu-isu berkenaan yang telah dikenalpasti dan dalam perbincangan.

Sehubungan dengan itu, atas semangat inklusiviti dan kebersamaan, saya turut mencadangkan supaya keanggotaan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian MA63 melibatkan beberapa Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan (backbencher) dan Pembangkang dari Sabah dan Sarawak supaya Majlis ini lebih inklusif serta keangotaannya tidak hanya terhad kepada anggota-anggota pentadbiran sahaja. Ini akan membolehkan Ahli-Ahli Parlimen dapat terlibat terus membincangkan isu-isu perkara dasar dalam melaksanakan perjanjian MA63 dan juga sebagai kesinambungan memandangkan perkara-perkara yang bakal diperincikan dan diputuskan juga merupakan antara perkara di bawah pertimbangan MKMA63 sebelum ini.

YB DATUK SERI DR RONALD KIANDEE
Ahli Parlimen Beluran
Naib Presiden BERSATU