GEORGETOWN, 5 Jan – Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi PN, Datuk Dr Dominic Lau berkata, mesyuarat bersama rakan komponen parti iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas akan diadakan sebelum Tahun Baharu Cina.

“Persiapan untuk menghadapi PRN telah pun kita lakukan termasuk akan mengadakan perbincangan bersama rakan komponen lain bagi pembahagian 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan dipertandingkan nanti.

“Jumlah pembahagian kerusi untuk setiap parti bukan menjadi keutamaan sebaliknya apa yang lebih penting bagi PN ialah untuk meletakkan calon yang boleh menang… itu faktor keutamaan kami,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Gerakan Pulau Pinang di sini, pada Khamis.

Hadir Sama, Setiausaha PN Pulau Pinang, Hng Chee Wey.

Ditanya mengenai sasaran kerusi yang boleh dimenangi, Dominic yang juga Presiden Gerakan berkata, pihaknya meletakkan harapan itu kepada rakyat kerana rakyat yang berhak untuk membuat keputusan bagi memilih wakil rakyat mereka.

“Ini semua hak rakyat, jika rakyat nak beri kemenangan kepada kita… kita akan menang semua lah nanti begitu juga sebaliknya.

“Sasaran berapa kerusi boleh menang bukan perkara yang akan dipertimbangkan tetapi kita akan fokus semua 40 kerusi yang akan dipertandingkan nanti,” katanya.

Mengulas lanjut, Dominic berkata, persediaan di peringkat ini amat penting termasuk merangka beberapa strategi bagi menghadapi sebarang kemungkinan pada PRN itu nanti.

Jelasnya, ia termasuk menghadapi pertembungan dua penjuru atau lebih berikutan sebelum ini Pakatan Harapan (PH) menyatakan kemungkinan akan bekerjasama dengan BN pada PRN kali ini.