ALOR SETAR, 5 Jan – Perikatan Nasional (PN) yakin mampu menang 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan selewat-lewatnya Julai depan.

Pengerusi PN Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata tindakan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bergabung juga dilihat tidak menjejaskan peluang PN menang pada PRN Kedah.

Katanya, beliau yakin PN mampu memenangi majoriti kerusi DUN Kedah berdasarkan pencapaian gabungan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Keyakinan itu berdasarkan prestasi dicapai PN pada PRU15. Kita tahu PH akan bekerjasama dengan BN seperti yang berlaku di Persekutuan, pada peringkat negeri juga akan berlaku perkara sama.

“Tetapi kalau undi PH dicampur dengan undi BN sekalipun, kita lihat PN tetap akan menang lagi. Saya jangka PH hanya boleh menang di tiga kerusi saja iaitu DUN Kota Darul Aman, Bakar Arang dan Sidam,” katanya selepas Majlis Amanat Kepada Penjawat Awam Negeri di Dewan Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berkata, momentum PN sehingga kini masih memberangsangkan dan didapati meningkat setiap hari.

“Momentum kita sentiasa bertambah, tidak akan pudar sama sekali, kita juga buat kerja sehabis baik yang mana kita boleh buat.

“Rakyat menilai apa mereka (PH) buat, mereka kata pandai buat, apabila jadi (kerajaan) sebulan masih tak tahu nak buat apa lagi. Formula itu tak boleh pakai, formula ini tak boleh pakai, rakyat Malaysia tak sokong kerajaan begini,” katanya.

Untuk rekod, komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, BERSATU (6), PKR (5), Parti Amanah Negara (4), manakala UMNO, DAP dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) masing-masing memiliki dua kerusi.