MASJID TANAH, 6 Jan – Sudah lebih setahun cerita mengenai pertukaran Ketua Menteri Melaka masih kedengaran dan dianggap tidak lagi selesai.

Spekulasi itu turut dihangatkan lagi dengan kain rentang yang digantung di beberapa tempat yang menyokong dan meminta Datuk Seri Sulaiman Md Ali kekal sebagai ketua menteri.

Ketua Bahagian BERSATU Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin mendakwa beliau ada menerima mesej dan gambar mengenai spekulasi terbabit, namun perkara itu menimbulkan persoalan.

Tanpa merujuk siapa yang dilihat mahu menjadi ketua menteri, Mas Ermieyati yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah menasihatkan agar individu terbabit mempelajari selok-belok pentadbiran dan pengurusan dengan menjadi Exco.

“Kita faham tekanan yang dilakukan oleh orang yang berkehendak itu terhadap Sulaiman. Yelah semua tahu kot siapa orang ini dan kita pun faham.

“Saya nak bagi nasihatlah…belajar dululah jadi Exco. Exco kanan tu macam mana, belajar dulu macam mana nak buat kerja sebagai Exco Kanan yang berwibawa, yang berkesan, yang boleh membantu Kerajaan Negeri, perform dulu.

“Jadi wakil rakyat yang perform, barulah boleh intai-intai jawatan tersebut. Ini tidak, jadi Exco Kanan pun prosedur maksudnya nak mengendalikan mesyuarat, prosedur untuk sesuatu kelulusan pun boleh main langgar. Jadi macam mana? Tata kelola macam mana yang dia ikut ini?” katanya dalam posting di TikTok pada Khamis.

@emysamsudin

Aduhh.. tak habis habis. Kata 3hb lah, ni dah masuk 5hb , banner sokongan kepada CM pulak yang naik. Pening orang Melaka ni tau… Yang teringin tu belajar ler dulu jadi wakil rakyat yang berwibawa dan berkesan.. bukan main langgau… #masjidTanahPeople #terusbekerja #terusberkhidmat

♬ original sound – mas ermieyati Samsud – mas ermieyati Samsud

Pada 26 Disember lalu, spekulasi itu mula bertiup kencang minggu lalu ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) bersidang dengan tular di media sosial satu nota suara yang mendakwa wujud satu gerakan diketuai seorang pemimpin UMNO negeri untuk menjatuhkan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Malah, ia kembali hangat diperkatakan susulan ada pihak mendakwa jawatan berkenaan bakal bertukar tangan.

Bagaimanapun, Sulaiman yang juga ADUN Lendu menafikan mengenai spekulasi terbabit.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina melaporkan Sulaiman akan melepaskan jawatan untuk memberi laluan kepada Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri baharu dengan istiadat angkat sumpah akan berlangsung di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam pada 3 Januari ini.

Situasi politik di negeri ini beberapa kali berdepan pergolakan apabila timbul dakwaan kononnya jawatan ketua menteri yang disandang Sulaiman akan bertukar tangan, namun, kedua-dua pemimpin itu – Sulaiman dan Ab Rauf tetap menafikannya.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati mahu melihat sejauh mana kemelut politik ini menjadi iktibar bagi rakyat di negeri ini.

Katanya, sebagai wakil rakyat yang dipilih rakyat, sepatutnya melakukan tugas dengan memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Jadi sebab itulah iktibar untuk semua. Jadi sama-samalah kita tengokkan apa yang berlaku ini.

“Asyik-asyik dia dengan dia juga yang berasak untuk rebutkan jawatan. Dah lebih setahun dah cerita ini kita dengar.

“Heii, buat je kerja yang penting terus bekerja terus berkhidmat. Yang itu lebih utama.

“Rakyat pilih sebab apa? Sebab untuk servis kita, khidmat kita,” katanya.