KUALA LUMPUR, 6 Jan – Armada BERSATU kecewa kerana Stadium Nasional Bukit Jalil tidak digunakan secara penuh bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata pada separuh akhir Piala AFF 2018, seramai 87,545 penyokong hadir namun pada tahun ini, 21,000 tempat duduk terpaksa dikorbankan oleh struktur pentas konsert Jay Chou yang dalam proses pemasangan.

“Kenapa konsert hiburan oleh penyanyi Taiwan ini begitu penting berbanding maruah sukan negara dan kemahuan penyokong Harimau Malaya? Di saat kita ingin pupuk perpaduan dan patriotisme negara melalui sukan khususnya bola sepak, boleh pula diberi alasan sebegitu.

“Ini masalah bila Stadium Nasional yang sepatutnya mengutamakan sukan negara digunakan untuk acara lain yang sepatutnya boleh saja dibuat di tempat lain contohnya di Axiata Arena.

“Hendak seribu daya, tak mahu seribu dalih!” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjelaskan bahawa 21,000 kerusi di Stadium Nasional Bukit Jalil terpaksa dikosongkan berikutan kerja-kerja pemasangan struktur pentas konsert berskala antarabangsa.

Beliau berkata pemasangan struktur pentas di lokasi konsert berkenaan telah ditempah awal oleh pihak penganjur artis terkenal dari Taiwan, Jay Chou sejak Mac 2019, turut membabitkan jumlah kru yang ramai.

Justeru itu, beliau berharap peminat bola sepak dapat menerima hakikat adalah mustahil untuk mengubah situasi di stadium berkenaan bagi aksi separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 antara Malaysia dan Thailand, Sabtu ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ahli Parlimen Machang berkata Hannah perlu menggunakan segala kuasa yang ada untuk memperbetulkan keadaan ini.

“Korbankan konsert artis Taiwan ini untuk membolehkan majoriti rakyat yang mahu menonton Harimau Malaya beraksi dalam sukan no. 1 negara!