KUALA LUMPUR, 7 Jan – Ahli BERSATU Bahagian Alor Setar hari ini membuat laporan mendesak polis membuka siasatan terhadap kenyataan didakwa berunsur fitnah yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyelewengan dana Covid-19 berjumlah RM600 bilion.

Mohamad Shafiq Abdul Halim, telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi 2 petang tadi.

Mohamad Shafiq mendakwa dakwaan Presiden PKR itu telah mencetuskan pelbagai persepsi fitnah dan tohmahan tidak berasas terhadap Pengerusi BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, dakwaan Perdana Menteri pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet bertarikh 5 Disember lalu bahawa pegawai Kementerian Kewangan telah mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan dana RM600 bilion ketika PN menerajui negara merupakan fitnah

“Saya telah mengesan satu kenyataan berita yang dilaporkan sebuah akhbar harian tempatan mengenai kenyataan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz bertajuk ‘Tengku Zafrul sahkan Dana RM600 bilion diurus secara telus’ dan beliau sehingga kini belum pernah dipanggil SPRM bagi membantu siasatan tersebut.

“Malah, dalam kenyataan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bertarikh 9 Disember lalu pula menyatakan jumlah peruntukan sebenar yang terlibat dianggarkan berjumlah RM530 bilion manakala RM92.5 bilion melibatkan dana kerajaan dan RM437.5 bilion bukan daripada kerajaan,” katanya di sini, hari ini.

Tambah beliau, berikutan kenyataan Anwar itu, pelbagai fitnah dan tohmahan tercetus di pelbagai platform media sosial yang menyebabkan beliau terpanggil untuk membuat laporan polis.

Menurut Mohamad Shafiq, pada pandangannya, Perdana Menteri telah melakukan beberapa kesalahan di sisi undang-undang dengan memberikan maklumat palsu.

“Pada saya, Perdana Menteri telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang dan mendatangkan bencana kepada orang lain.

“Malah, beliau juga melakukan kesalahan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan iaitu memfitnah, Seksyen 505 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dan Seksyen 241 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu memberikan kenyataan palsu dan mengelirukan,” ujarnya.