SEREMBAN, 7 Jan – Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari parti itu dicabar menyatakan pendirian sama ada menyokong atau tidak kerajaan Pakatan Harapan (PH) di negeri ini.

Setiausaha Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus berkata, ia bagi membuktikan usaha mereka membentuk Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan sekali gus sebagai tanda sokongan kepada kerajaan di peringkat pusat.

Bagaimanapun, beliau yakin ia sesuatu yang sukar buat BN ditambah pula masih ada suara di peringkat akar umbi parti yang masih tidak bersetuju dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Kita cabar BN khususnya di kawasan Rembau buat keputusan segera, nyatakan pendirian memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan dalam tempoh beberapa bulan lagi.

“Tapi saya jangkakan yang mereka tiada keberanian mahu bergabung dengan PH bagi membentuk Kerajaan Perpaduan kerana bimbang akan hilang pengundi terutama di kawasan Melayu,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Ujarnya, gabungan dengan PH hanya akan memberi gambaran yang UMNO dan BN telah menerima DAP.

Jelasnya, jika BN memilih untuk tidak bekerjasama dengan PH, ia turut memberi gambaran negatif pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat itu sekadar untuk kepentingan politik tertentu.

“Kita tahu kenapa Kerajaan Perpaduan itu dibentuk, tapi hakikatnya ramai dalam kalangan ahli UMNO yang tak bersetuju kerana ia akan merosakkan masa depan parti mereka,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, rundingan kerjasama PH dan BN di negeri ini bagi menghadapi PRN kelak, sedang berjalan.

“Keputusan mengenainya insya-ALLAH akan diketahui hujung bulan ini, saya berdoa ada keputusan yang baik bagi menstabilkan suhu politik negara,” katanya.