SETIU, 8 Jan – Lebih 400 keluarga yang tinggal di empat kampung di Permaisuri, di sini, yang terkesan akibat banjir baru-baru ini, menerima agihan bantuan keperluan harian yang disampaikan Skuad Prihatin BERSATU, pada Sabtu.

Empat kampung yang terlibat adalah Kampung Besut, Kampung Hulu Seladang, Kampung Padang dan Kampung Che Long.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu, Senator Datuk Razali Idris berkata bantuan itu disampaikan oleh Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam lawatan prihatin menyantuni mangsa-mangsa banjir.

“Semalam program menyatuni mangsa banjir bersama kepimpinan Pusat diketuai Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan kepimpinan BERSATU Negeri serta Bahagian berjalan dalam hujan berterusan.

“Skuad Prihatin BERSATU sentiasa bersedia meredah hujan, banjir dan apa jua keadaan yang membolehkan rakyat dibantu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Ahmad Faizal mendengar taklimat lawatan prihatin menyantuni mangsa-mangsa banjir di pejabat Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu.

Hadir sama, Timbalan Badan Pimpinan Negeri BERSATU Terengganu yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Turut hadir, Penyelaras Skuad Prihatin BERSATU yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Mohd Rafiq Mohd Abdullah.

Mengulas lanjut, Razali yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU berkata selain bantuan keperluan harian, Skuad Prihatin BERSATU juga turut melibatkan diri dalam program gotong royong membersihkan kawasan dan baik pulih beberapa rumah yang terkesan akibat banjir.

“Skuad Prihatin BERSATU sentiasa turun padang memberi khidmat dan sumbangan kepada mangsa banjir yang terlibat.

“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak membantu mereka meringankan beban selepas banjir,” katanya.