KOTA KINABALU, 9 Jan – UMNO Sabah tidak sepatutnya melakukan perkara yang boleh merosakkan negeri Sabah itu sendiri.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, UMNO harus mengikut perjanjian yang telah dipersetujui sebelum ini bersama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

“Kalau kita mahu mengikut apa yang dilakukan oleh UMNO ini boleh merosakkan negeri Sabah itu sendiri.

“Perjanjian yang dibuat semasa pelantikan Datuk Seri Hajiji dan Datuk Seri Bung Moktar ia sepatutnya diterima semua pihak.

“Hajiji telah pun melantik mengikut apa yang telah dijanjikan dalam perjanjian. Sementara itu, UMNO juga sepatutnya mengikut perjanjian yang ada,” katanya dalam sidang akhbar selepas pertemuan dengan BERSATU Sabah, di sini pada Ahad.

Katanya lagi, perjanjian itu akan dikemukakan supaya rakyat lebih memahami bahawa pihak yang tidak faham mengenai perjanjian ataupun tidak menghormati perjanjian yang telah dilakukan.

“Jadi kalau apa-apa berlaku apabila Bung mengumumkan untuk keluar daripada menyokong Hajiji saya akan tunjukkan perjanjian itu nanti untuk rakyat memahami bahawa ini adalah satu kumpulan yang langsung tidak faham tentang apa itu perjanjian ataupun langsung tidak mempunyai sifat untuk menghormati perjanjian dia sendiri.

“Maka sebab itu rakyat sepatutnya kena tahu kumpulan-kumpulan yang tidak menghormati perjanjian ini, apatah lagi ucapan-ucapan mereka kalau perjanjian sendiri pun mereka tidak menghormatinya, sudah tentu juga ucapan mereka juga mereka sendiri tidak menghormatinya,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), mendakwa bahawa ada bekas ADUN BERSATU di negeri ini bertemu dengannya.

“Saya ada juga berjumpa dengan beberapa ADUN yang asalnya daripada BERSATU, maklum sajalah dalam keadaan hari ini di mana kepentingan Hajiji itu maka saya tidak mahu merosakkan kepimpinan Sabah.

“Jadi saya sudah bercakap dengan mereka, ada yang mengatakan bahawa hatinya masih bersama BERSATU tetapi atas sifat untuk menentukan bahawa kepimpinan Sabah itu tidak bertukar, jadi saya mahu ingatkan Hajiji, saya mempunyai pendirian bahawa ia untuk kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Terdahulu, hadir sama dalam pertemuan khas itu ialah Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.