KUALA LUMPUR, 10 Jan – Biarpun inisiatif rawatan secara percuma bukan sebahagian daripada manifesto Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu, namun ia tetap dilaksanakan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, inisiatif itu dilaksanakan beliau kerana sudah berniat daripada awal jika berkemampuan.

“Perkhidmatan rawatan klinik percuma ini telah berjalan sejak Ogos tahun lalu hingga sekarang dan ia akan diteruskan.

“Saya tidak menjanjikan apa-apa ketika berkempen dalam PRN Melaka lalu, tetapi saya pernah berniat di dalam hati.

“Sekiranya satu hari nanti saya mempunyai kemampuan, saya mahu menyediakan rawatan yang percuma dan terbaik untuk rakyat saya di DUN Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Ketua Penerangan Pemuda PN Melaka itu juga berkata, pemberian rawatan percuma itu sebagai langkah untuk meringankan bebanan rakyat yang terkesan dengan kos perubatan yang tinggi ketika ini.

“Dengan rawatan percuma ini, sedikit banyak bantu rakyat yang menghadapi kekangan kos sara hidup yang semakin meningkat setiap tahun,” katanya.

Selain itu, inisiatif ini juga menawarkan rawatan kesihatan yang lebih selesa berbanding di Klinik Kesihatan Kerajaan kepada rakyat.

“Rawatan percuma ini bagi memudahkan rakyat datang ke klinik swasta yang lebih selesa berbanding klinik kesihatan yang begitu ramai orang.

“Mereka lebih selesa ke klinik saya, tak perlu bersesak-sesak lagi untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Ditanya tentang jenis rawatan percuma yang disediakan, Aleef berkata perkhidmatan yang ditawarkan di klinik swasta miliknya itu lebih kepada pesakit luar.

“Biasanya rawatan pesakit luar seperti demam, batuk dan selsema.

“Rawatan lain termasuk penyakit darah tinggi, kencing manis, penyakit tidak berjangkit, cuci luka dan pemeriksaan kesihatan.

“Saya fikir rawatan ini mampu saya sediakan secara percuma khas untuk rakyat di DUN Sungai Udang sahaja,” jelasnya.

Katanya lagi, sesiapa sahaja dari DUN Sungai Udang boleh mendapatkan rawatan percuma itu tanpa mengira fahaman politik.

“Mereka yang datang mesti membuktikan bahawa mereka ini dari DUN Sungai Udang, tidak mengira sama ada sesiapa sahaja, ia merentasi batas politik.

“Sekiranya seseorang itu ahli daripada bukan parti saya (Bersatu) pun asalkan dari DUN Sungai Udang, saya akan berikan rawatan percuma,” katanya.