KUALA LUMPUR, 10 Jan – Kerajaan PH-BN digesa supaya tidak tunduk dengan beberapa tekanan oleh Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), khususnya berhubung bank soalan Bahasa Melayu (BM) untuk Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).

Sehubungan itu, Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengingatkan supaya Kementerian Pendidikan perlu kekal teguh dengan dasar yang menggunakan hanya satu kurikulum dan sukatan pelajaran untuk apa-apa subjek, khususnya yang berunsur pembentukan negara bangsa.

Ahli Parlimen Machang itu berkata, kementerian juga perlu bersedia membantu dalam apa jua cara dalam memudahkan dan memperkasakan pengajaran dan pembelajaran BM di semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan.

“Saya agak terkejut membaca keluhan Jiao Zong berhubung bank soalan Bahasa Melayu untuk Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA). Alasan pertama ialah ianya bertentangan dengan prinsip pendidikan.

“Alasan kedua pula waktu belajar subjek BM di Sekolah Kebangsaan (SK) dan SRJK berbeza. Masa pengajaran dan pembelajaran untuk kedua-dua tahap pertama dan tahap kedua BM di SK lebih 32 jam berbanding pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK.

“Namun, persoalannya ialah mengapa perlu beza-bezakan soalan BM untuk SK dan SRJK walhal kurikulum pengajian bahasa di peringkat asas menuntut kepada silibus yang sama seperti yang telah diputuskan oleh Kementerian Pendidikan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Wan Ahmad Fayhsal turut membangkitkan persoalan apakah Jiao Zong mempunyai matlamat tertentu sehingga menuntut pelbagai perkara, termasuk penggunaan buku teks.

“Apakah ada perbezaan prinsip dan matlamat pendidikan yang Jiao Zong perjuangkan sehingga menuntut kepada bukan saja perbezaan bank soalan malah buku teks yang berlainan?

“Bukankah pengajaran dan pembelajaran BM di peringkat asas adalah sama untuk semua pelajar di peringkat itu tidak kira di SK ataupun SRJK? Mengapa waktu pengajaran dan pembelajaran BM di SRJK 32 jam lebih pendek berbanding SK?

“Bukankah patut digandakan masa pengajaran dan pembelajaran BM agar penguasaan BM di kalangan pelajar SRJK menjadi lebih baik dan fasih,” soalnya.

Wan Ahmad Fayhsal mengingatkan Jiao Zong supaya akur dengan dasar Kementerian Pendidikan bahawa proses pendidikan di Malaysia turut merangkumi usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum, dan agama melalui penggunaan BM yang betul dan meluas.

“Kita tidak boleh membeza-bezakan silibus yang ada kerana kita ingin melahirkan warganegara Malaysia yang punya kefahaman yang sama tentang negara bangsa Malaysia.

“Keluhan Jiao Zong ini tidak membantu dalam usaha memupuk perpaduan nasional di peringkat paling asas iaitu peringkat persekolahan anak-anak kita.

“Kita mahu lebih ramai pelajar-pelajar SRJK menguasai Bahasa Melayu dengan baik dan fasih kerana ianya akan membantu keboleh pasaran para pelajar SRJK dan juga mengukuhkan usaha SRJK menjayakan perpaduan nasional,” tambahnya, lapor Agenda Daily.

Beliau mengulas kenyataan Jiao Zong yang berpendapat penggunaan bank soalan sama untuk subjek BM bagi semua aliran sekolah adalah tidak sesuai.

Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee dilaporkan berkata, jumlah masa pengajaran BM adalah berlainan antara sekolah rendah jenis kebangsaan (SRJK) dan sekolah kebangsaan (SK) dan bahasa itu juga merupakan bahasa ibunda murid Melayu.

Beliau berkata, penggunaan soalan dari bank soalan yang sama untuk UASA bagi semua aliran sekolah adalah bertentangan dengan prinsip pendidikan.