TASEK GELUGOR, 10 Jan – Pemimpin Perikatan Nasional (PN) sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dana RM92.5 bilion untuk pengurusan pandemik COVID-19 tiga tahun lalu.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata PN beberapa kali dituduh terbabit dalam salah laku membabitkan dana RM600 bilion dan angka itu berubah-ubah sebelum dipecahkan kepada dua angka berbeza, tidak sampai RM600 bilion.

“Tetapi kini diteruskan dengan ugutan dan siasatan yang perkara ini bagi saya dilakukan atas niat politik dan kita kena faham juga bahawa dalam Malaysia sekarang ini satu-satunya gabungan yang menjadi pencabar kepada (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dan kerajaan yang ada ialah PN.

“Bagi saya usaha-usaha yang dilakukan seperti pembunuhan karektor Tan Sri Muhyiddin Yassin dan karakter PN ini akan berterusan sepanjang tahun ini.

“Terdapat usaha untuk memburukkan dan membuat rakyat ragu-ragu dengan integriti dan kredibiliti calon pemimpin PN. Akan tetapi kami bersiap sedia sekiranya dipanggil SPRM untuk memberikan keterangan,” katanya ketika ditemui dalam program Sesi Bersama Pesawah Padi bersempena Penubuhan Kelompok Tani Nyior Sebatang, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, rakyat kini turut ternanti-nanti keputusan kes pemimpin yang terbabit dalam kluster mahkamah.

Ini kerana, katanya beliau sudah menjangkakan wujudnya usaha-usaha ‘penyucian’ imej kepada beberapa pemimpin ‘kluster mahkamah’ selain terdapat usaha yang dilihat untuk mencemar kredibiliti PN.

“Saya rasa akan berlaku usaha untuk menyucikan imej mereka dan saya menghargai kenyataan yang dibuat oleh Ketua Hakim Negara, baru-baru ini yang mengatakan bahawa ada usaha untuk menekan institusi kehakiman tapi institusi kehakiman kita berdiri teguh dengan integriti mereka.

“Malah, saya yakin rakyat akan ternanti-nanti apa yang akan berlaku dengan kes-kes mahkamah berprofil tinggi (membabitkan) (Tan Sri) Shahrir Ab Samad yang mana kita sudah tahu keputusannya, (Datuk Seri) Tengku Adnan Tengku Mansor termasuk (kes) yang paling besar (Datuk Seri) Zahid Hamidi,” katanya.

Sebelum ini, Anwar dilaporkan berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan berlaku pelanggaran serius berhubung prosedur perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran Muhyiddin.

Minggu lalu, Muhyiddin bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dilapor akan dipanggil SPRM berhubung dakwaan berlaku salah guna dana RM600 bilion.

Bagaimanapun, SPRM dalam kenyataan berkata, fokus siasatan kini terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.