KUALA LUMPUR, 10 Jan – Perikatan Nasional (PN) tidak berminat untuk mencampuri urusan Barisan Nasional (BN) jika berlaku perebutan jawatan Ketua Menteri Melaka.

Ketua Penerangan Pemuda PN Melaka, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, wakil rakyat PN hanya memberi keutamaan kepada kebajikan rakyat yang kini terkesan dengan kos sara hidup.

“Kami tidak berminat masuk campur urusan BN, apatah lagi jika berlaku pergolakan dalaman dan berebut jawatan Ketua Menteri Melaka.

“Fokus kami untuk meneruskan tugas selaku wakil rakyat untuk membantu rakyat khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Rauf Yusoh menafikan wujud perebutan jawatan Ketua Menteri antara beliau dengan Datuk Seri Sulaiman Md Ali yang menyandang jawatan itu, ketika ini.

Rauf menegaskan, perkara itu sengaja dicetuskan pihak tertentu bertujuan melaga-lagakan hubungannya dengan Sulaiman.

Pada Jumaat lalu tular rakaman video berdurasi hampir enam minit itu memaparkan Rauf duduk semeja bersama Sulaiman dan Bendahari UMNO Bahagian Masjid Tanah, Datuk Kamarul Zaman Jantan mengeluarkan kenyataan berhubung situasi semasa politik Melaka.

Video berkenaan disiarkan bertujuan menangkis segala dakwaan kononnya akan berlaku peralihan kuasa jawatan Ketua Menteri daripada Sulaiman kepada Rauf selepas Perhimpunan Agung UMNO pada 14 Januari ini.

Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, apa pun yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan negeri, ia tidak akan menjejaskan tugasnya sebagai wakil rakyat.

“Perkara tersebut tidak menjejaskan fokus saya untuk terus membantu rakyat selaku ADUN Sungai Udang,” katanya.