KUALA LUMPUR, 11 Jan – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan dakwaan penyelewengan dana kerajaan sebanyak RM92.5 bilion yang dikaitkan dengan BERSATU sebagai rekaan dan ‘pembohongan maha dahsyat’.

Dalam satu hantaran di Facebooknya pada Selasa, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, andaian mengatakan beliau dan BERSATU mempunyai dana berjumlah RM4.5 bilion hasil pengambilan komisen daripada dana tersebut melalui individu tertentu adalah tidak benar sama sekali.

“Penyelewengan dana RM92.5 bilion itu adalah satu rekaan. Perbelanjaan fiskal di bawah pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.

“Bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung kepada rakyat? Kutipan komisen antara 3 hingga 5 peratus daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan.

“Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya? Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak,” katanya.

Mengulas mengenai perbelanjaan BERSATU yang disifatkan sebagai agak mewah pada pilihan raya baru-baru ini, Muhyiddin berkata, sebagai parti politik, BERSATU mempunyai dana hasil sumbangan pihak yang menyokong perjuangan parti itu.

Beliau yang juga Presiden BERSATU berkata, akaun partinya diuruskan secara telus dengan setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit dan dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, setiap sumbangan untuk dana pilihan raya juga dimasukkan ke dalam akaun parti dan beliau percaya BERSATU tidak menyalahi mana-mana undang-undang sedia ada.

“Mengenai perbelanjaan pilihan raya PN yang dikatakan mewah dengan bendera, baju dan ‘merchandise’ yang banyak, saya hendak ceritakan perkara yang sebenarnya.

“Sebagai langkah penjimatan, BERSATU telah mencetak bendera dan merchandise PN secara ‘bulk order’ dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah berbanding jika ia dicetak hampir dengan tarikh pilihan raya,” ujarnya.

Menurutnya, disebabkan itu juga PN mengambil keputusan untuk tidak menukar bendera dan logo yang digunakan ketika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa tohmahan penyelewengan dana yang dilemparkan Pakatan Harapan (PH) dan BN terhadap PN digunakan sebagai cara supaya tindakan undang-undang diambil terhadap BERSATU.

Katanya, ia bagi melemahkan jentera pentadbiran BERSATU sehingga menyebabkan parti beliau menghadapi kesukaran untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Saya harap ini tidak benar dan menyerahkan kepada pihak SPRM untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil. Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun BERSATU atau akaun saya adalah palsu.

“Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya. Sehubungan itu, BERSATU akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan,” ujarnya.