KUALA LUMPUR, 12 Jan – Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Antirasuah akan mengemukakan memorandum khas kepada Perdana Menteri supaya mengkaji semula cadangan pembubaran Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC).

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, jawatankuasa khas mendapati GIACC telah melaksanakan lebih 80 peratus syor-syor transformasi institusi sejak 2018, termasuk pengasingan Peguam Negara daripada Pendakwa Raya, pengawasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lain-lain.

“Setidak-tidaknya, GIACC bersama Institut Integriti Malaysia boleh diadunkan khidmat perancangan antirasuah bagi mencapai matlamat bebas rasuah negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusi mesyuarat jawatankuasa berkenaan.

Selain itu, katanya, jawatankuasa juga akan meneliti pindaan terhadap Akta Kesatuan Sekerja (1959) Pindaan 2022 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober 2022.

Katanya, jawatankuasa telah meneliti hujah-hujah berkaitan Pertubuhan Perburuhan Antarabangsa, tetapi pada masa sama nilai-nilai dan amalan yang bersifat peneguhan negara serta tenaga harus dipertimbang.

“Cadangan pindaan akta ini pada keseluruhannya menepati objektif transformasi perburuhan dan kesatuan sekerja di negara ini.

“Oleh itu, satu usul khas akan dibawa dalam mesyuarat Dewan Rakyat pada Mac ini,” katanya.