PMX sebelum ini ada mengatakan ‘kerajaan perpaduan’ diterajuinya mengemudi negara demi kestabilan politik yang lebih baik. Namun, Anwar gagal menterjemahkan perkataan ‘reform’ seperti yang dilaungkan oleh beliau dan partinya.

PMX Mendapat sokongan menjadi Ketua Kerajaan Persekutuan apabila sanggup bergabung dengan kumpulan kleptokrat demi kestabilan politik yang dicanangkan kepada rakyat kononnya. Namun, ‘kocak di air’ masih kelihatan sehingga ke hari ini.

Lebih menghangatkan, ‘jurucakap’ UMNO, Isham Jalil seperti dilaporkan media mendakwa wujudnya risiko berlakunya pertukaran kerajaan jika parti keramat tersebut tidak stabil. Tetapi, percayalah ia hanyalah propaganda semata-mata untuk membuktikan kononnya pembangkang akan mengambil alih kuasa semula dan akan menjadi faktor penghalang utama kestabilan politik.

UMNO berada dalam keadaan terdesak untuk menenangkan ahli akar umbinya. Keputusan untuk bersama dengan Anwar Ibrahim dan DAP bukanlah tindakan yang disukai oleh jutaan ahli UMNO. Maka, ‘jurucakap’ UMNO cuba untuk memanipulasi situasi.

Sekiranya UMNO merupakan sebuah parti yang berpengalaman dan hebat, benarkanlah ahli parti untuk bersuara seterusnya membuat keputusan dalam pemilihan nanti. Tidak langsung terkait dengan pembangkang atau apa jua langkah bagi menukar kerajaan.

Lihat sahajalah Bung Moktar, punyalah bersungguh-sungguh Ahli Parlimen Kinabatangan ini ketika berbahas di Dewan Rakyat mahukan kestabilan kerajaan diteruskan. Dakwanya. rakyat sudah bosan dengan keadaan politik tidak menentu.

Kejadian di Sabah, siapa yang menarik sokongan kepada Hajiji Noor selaku Ketua Menteri? Bung moktar mungkin boleh berehat dari politik kerana sikap pelupanya yg ketara. Khianat prinsip sendiri.

Kalau diingat balik, Bung Moktar juga antara 14 Ahli Parlimen daripada UMNO-BN yang telah menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. Terbukti, kestabilan
dilaungkan UMNO hanya dibibir sahaja.

Rafizi Ramli yang pakar formula dalam segala bidang pula seakan menyalahkan PN kerana enggan berada dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik. Sehingga ke hari ini, tidak pula beliau mengeluarkan sebarang kenyataan perihal pergolakan di Sabah?

Terbuktilah di bawah pentadbiran PMX, tiada yang stabil. Sabah bergolak berpunca dari UMNO. Soalannya, adakah Langkah Kinabalu ini mendapat restu atau arahan daripada Presiden UMNO yang kini merupakan Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perpaduan?

Begitu juga dengan Negeri Melaka, bergolak dan berebut takhta sesama sendiri. Langsung tidak melibatkan wakil rakyat daripada pembangkang. Sebaliknya, lebih kepada ‘perang saudara’ yang mencetuskan kekecohan landskap politik Melaka.

Johor juga tidak terkecuali, apabila kedengaran khabar angin berkemungkinan Menteri Besar akan ditukarkan dan berlakunya rombakan EXCO Kerajaan Negeri. Mungkin Kerana Onn Hafiz bercakap benar demi kelangsungan parti dan ahlinya, itulah ‘harga yang perlu dibayar’.

Secara keseluruhannya, kestabilan politik yang digembar gemburkan masih tidak menampakkan petanda positif. Rakyat masih dihimpit masalah ekonomi kerana Jemaah Menteri tiada daya mewujudkan inisiatif intervensi dalam permasalahan yang timbul.

Sehingga menjelang ke 50 hari pentadbiran PMX, kehidupan rakyat masih lagi terkesan dengan hambatan kos sara hidup. Kerajaan kelihatan sendu dan canggung untuk menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sepatutnya dilakukan.

Kerajaan hanya tahu ‘sekat’ suara rakyat, memadam video di media sosial sekali gus menafikan hak kebebasan bersuara. Sedangkan rakyat pada hari ini, bukan lagi hanya menjadi ‘mata dan telinga’ malah ‘check and balance’ kepada kerajaan.

Kalau Ahli Parlimen pun, hak boleh ‘disekat’ melalui MoU ditandatangani PH dengan gabungan parti menyokong pembentukan kerajaan, ini kan pula ‘menyekat’ rakyat khususnya anak muda. Lagi ‘dibakul sampahkan’ idea kritis yang telah dilontarkan.

Justeru, kestabilan politik dilaungkan hanyalah ‘tin kosong’ demi tembolok kuasa dan kroni sahaja. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan kerajaan di bawah pentadbiran PMX. Nampak hebat ketika membangkang, kelihatan bebal bila berkuasa.

Ternyata keputusan PN untuk tidak bersama dalam pentadbiran kerajaan PMX seterusnya berada dalam blok pembangkang adalah tepat. Berada dalam posisi di luar daripada kacau bilau landskap politik berpunca dari dalam (internal) sendiri.

Syafiq Aziz
Naib Ketua Armada BERSATU Kota Tinggi