KUALA LUMPUR, 12 Jan – Kerajaan didesak melaksanakan kaedah pemantauan lebih cekap dan komprehensif bagi meningkatkan tahap keselamatan di pusat jagaan kanak-kanak dan bilik siasatan wanita supaya mereka terhindar daripada kemalangan atau jenayah.

Exco Srikandi BERSATU Malaysia, Zeti Zanariah Masiran berkata kerajaan juga wajar segera menguatkuasakan peraturan supaya semua pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak pada jumlah tertentu perlu diwajibkan memasang sistem kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan memantau keselamatan penghuni selain boleh dijadikan bahan rujukan untuk membantu siasatan jika berlaku sebarang kes tidak diingini.

“Dengan merujuk kes terbaharu yang melibatkan seorang bayi berusia 4 bulan yang koma dan kemudian meninggal dunia di Terengganu dipercayai telah didera oleh pengasuh. Kes lain di Kedah,
seorang inspektor polis didakwa di mahkamah atas tuduhan merogol serta melakukan amang seksual terhadap remaja berumur 16 tahun pada 28 Disember lalu.

“Srikandi Bersatu amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya perbuatan tidak bertanggungjawab ini apatah lagi apabila dilakukan individu yang diberi kepercayaan dan sepatutnya melindungi mangsa.

“Justeru, kami menyifatkan kemalangan atau jenayah yang sentiasa berlaku melibatkan mangsa kanak-kanak atau wanita di kedua-dua premis tersebut mencerminkan kelemahan atau kelalaian pihak berkuasa daripada mengambil langkah yang tegas untuk melindungi mereka ketika di bawah jagaan pihak yang diamanahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ketua Srikandi BERSATU Tebrau berkata kerajaan perlu untuk meneliti bebanan kerja, menetapkan tempoh masa bekerja dan mengehadkan jumlah kanak-kanak yang boleh dijaga oleh seseorang pengasuh bagi mengelakkan mereka mengalami tekanan akibat kerenah berlebihan jika menjaga terlalu jagaan pada satu masa.

Katanya, cadangan pemasangan sistem pemantauan keselamatan seperti CCTV ini sekaligus mampu mencetuskan suasana selamat dan ceria di pusat jagaan kanak-kanak.

“Petugas pusat jagaan juga mesti dari kalangan individu berkelayakan dan mempunyai kemahiran yang diiktiraf seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat serta mesti lulus pemeriksaan psikologi di
hospital kerajaan.

“Penguatkuasaan dan tindakan tegas perlu diambil dengan baik dan sistematik bagi menangani semua permasalahan yang berbangkit dan sesi turun padang bagi tujuan pemantauan harus dijalankan secara berkala.

“Bagi tujuan untuk mengharmorni dan menjaga aib sesuatu siasatan adalah dicadangkan untuk menambahkan dan memperbanyakan penglibatan pegawai khususnya wanita bagi menguruskan kes yang membabitkan golongan kanak-kanak dan wanita,” katanya.