KUALA LUMPUR, 13 Jan – Kenyataan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengenai UMNO sukar bekerjasama dengan PAS dan sanggup bekerjasama dengan DAP, disifatkan sebagai ‘baru kahwin kentut pun dikata wangi’.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata UMNO yang sedang hangat bercinta begitu rajin menjadi jurucakap DAP.

Ini kerana, katanya, ketika kempen pilihan raya di Padang Serai, kepimpinan UMNO mengkritik DAP tetapi DAP sampai hari ini tidak pernah sama sekali bercakap bagi pihak UMNO apatah lagi menggugurkan dasar dan ideologi DAP yang dilawan UMNO sejak 60 tahun dahulu.

“Kalau perhatikan pemimpin UMNO tidak lagi bercakap soal bangsa. Hanya bercakap soal parti dan kepentingan kelompok yang kecil – yang didokong oleh “warlord” mereka sendiri.

“Tiada lagi soal Ketuanan Melayu, soal Asabiyyah Melayu, perpaduan Melayu – yang mana kita tahu semua ini adalah PRA-SYARAT kepada Perpaduan Nasional.

“Kalau Melayu berpecah yang untung siapa? Kalau Melayu bergaduh yang rugi siapa?” soalnya dalam kenyataan pada Khamis.

Semalam, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO sukar bekerjasama dengan PAS kerana parti itu tidak pernah setia atau ikhlas.

Katanya, parti itu juga tanpa segan berselingkuh atau curang dengan parti serpihan UMNO.

“Tanpa segan, mereka berselingkuh dengan semua parti, terutamanya ‘si janda’ UMNO.

“Lihat sahaja rekod mereka, dengan DAP dan PKR. Akhirnya, semua membawa haluan masing-masing,” katanya berucap merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO, pada Khamis.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata UMNO boleh terus mengeji dan berprasangka buruk terhadap BERSATU dan PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Machang berkata tindakan itu mencerminkan mereka mudah dan cepat sungguh menukar pendirian.

“Teruskan mengeji dan berprasangka buruk kepada BERSATU, PAS. Mudah dan cepat sungguh pemimpin UMNO tukar skrip.

“Rupanya Muafakat Nasional (MN) adalah wayang sinetron untuk umpan orang Melayu pertahankan pemimpin UMNO yang terpalit rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.