TUMPAT, 13 Jan – Perikatan Nasional (PN) yakin rakyat akan tetap mengundi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) sekaligus mengekalkan pentadbiran di Kelantan, Terengganu, Kedah selain mencongak peluang merampas kerusi di Pulau Pinang, Negeri Sembilan serta Selangor.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keyakinan itu berpandukan kepada momentum sokongan rakyat terdahap gabungan tersebut semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Keputusan PRU15 menunjukkan ada kesedaran dalam kalangan pengundi dan mereka sudah muak dengan janji-janji politik tidak tertunai.

“Mereka mahu lihat kita tunaikan apa yang telah dicakapkan,” katanya selepas Majlis Sumbangan Bantuan Banjir PN kepada 8,000 mangsa di Chabang Empat, Wakaf Bharu di sini pada Khamis.

Dalam perkembangan lain, Hazmah memberitahu, PN sudah menyelesaikan urusan agihan kerusi antara parti komponennya untuk PRN namun belum dimuktamadkan.

Katanya, PN meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas utama dalam mencari titik persamaan menyelesaikan perkara tersebut.

“Kita berbincang secara ‘adik-beradik’ dan tidak timbul soal ikhlas atau tidak. Kita terima apa yang terbaik dan kepentingan rakyat diutamakan.

“Boleh dikatakan semua telah siap tetapi belum dimuktamadkan. Mungkin boleh berubah bergantung kepada Majlis Tertinggi PN,” ujarnya.

Katanya, apa yang penting adalah calon yang dipilih boleh memenuhi dan memperjuangkan kepentingan rakyat di kawasan-kawasan yang mereka wakili tidak kira daripada parti mana pun.