KUALA LUMPUR, 13 Jan – Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menerima watikah pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, yang berkuat kuasa 10 Disember tahun lalu.

Watikah pelantikan itu disampaikan oleh Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin, selepas selesai Mesyuarat Biro Politik BERSATU, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Naib Presiden BERSATU Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Ronald juga turut dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perikatan Nasional (PN) Sabah.

Pada perjumpaan khas Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah di Kota Kinabalu pada 8 Januari lalu, Ronald berkata BERSATU Sabah kekal utuh malah bertambah kukuh walau beberapa pemimpin meninggalkan parti.

Ronald berkata hakikatnya penghijrahan mereka ini tidak memberi kesan terhadap kekuatan parti di peringkat akar umbi.

“BERSATU Sabah akan terus diperkasakan dan penyertaan beberapa pemimpin baru di semua peringkat akan merealisasikan hasrat parti untuk bangkit semula.

“Kepimpinan Badan Pimpinan Negeri akan dikemaskini dalam masa terdekat ini bagi menggerakkan jentera parti menghadapi cabaran politik negeri,” katanya.