KUALA LUMPUR, 13 Jan – Armada BERSATU menyambut baik kenyataan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor yang menggesa supaya undang-undang berkaitan penjualan dan promosi arak di Pulau Pinang diperbaiki, kerana sensitiviti semua pihak mesti dipertimbangkan.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kenyataan itu menggambarkan beliau memahami polemik mengapa umat Islam tidak senang dengan promosi arak secara terbuka di ruangan awam.

Beliau juga turut bersetuju dengan bantahan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Muhammad Fawwaz Mat Jan terhadap penjualan bir di sebuah pusat beli-belah di Perai, menjelang Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

“Terima kasih Sahib al-Samahah Mufti Pulau Pinang yang memahami polemik mengapa kaum Muslimin tidak senang dengan promosi arak secara terbuka di ruangan awam.

“Apa yang sahabat ahli parlimen Perikatan Nasional saya YB Ustaz Muhammad Fawwaz Mohamad Jan lakukan bukanlah melanggari undang-undang sebaliknya mengikut semua saluran yang ada untuk menyatakan bantahan secara beradab kepada pihak Sunway Carnival Mall.

“Ahli Politik DAP tidak sepatutnya melatah berlebihan kerana prinsip menolak promosi arak sama sahaja dengan menolak promosi rokok di khalayak umum.

“Kalau dahulu kita izinkan rokok diiklankan dalam sukan, maka kini tidak lagi. Sama juga dengan perjudian,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Mohd Noor menggesa supaya undang-undang berkaitan penjualan dan promosi arak di negeri itu diperbaiki, kerana sensitiviti semua pihak mesti dipertimbangkan.

Mengulas bantahan Ahli Parlimen Permatang Pauh Fawwaz Md Jan terhadap penjualan bir di sebuah pusat beli-belah di Perai menjelang Tahun Baharu Cina, Wan Salim berkata beliau bersetuju ia tidak wajar dilakukan secara terbuka.

“Pada pandangan saya undang-undang berkaitan penjualan dan pengambilan arak perlu dikemaskini dan diperbaiki supaya lebih jelas apa yang dibenarkan atau sebaliknya.

“Ini bagi memastikan sensitiviti masyarakat Islam diambil kira, dan mengekalkan keharmonian sesama bangsa di negara ini.

“Lebih baik tidak mempromosikan arak secara terbuka kepada orang ramai. Cukuplah menjualnya di kawasan dikhususkan untuk golongan bukan Islam,” katanya.

Dalam hantaran di TikTok, Muhammad Fawwaz mendakwa pengunjung beragama Islam ke pusat beli-belah itu merasa kurang selesa kerana arak dijual secara terbuka.

Kenyataannya itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seorang ADUN dari Pulau Pinang, Daniel Gooi menyifatkan Fawwaz melampaui skop kerjanya sebagai Ahli Parlimen sebaliknya menjadi polis moral, malah melihat tindakannya sebagai menggugat keharmonian penduduk pelbagai bangsa di negeri itu.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata arak, rokok dan judi adalah penyakit masyarakat tiga serangkai yang perlu dikawal oleh kerajaan tempatan.

“Penyakit masyarakat tiga serangkai – arak, rokok dan judi – ketiga-tiganya perlulah dikawal oleh kerajaan tempatan dari segi promosi yang boleh memudaratkan rakyat.

“Adapun Islam tidak menghalang mana-mana pihak yang bukan Islam untuk menikmati ketiga-tiganya selagi mana dibuat di tempat-tempat yang telah ditetapkan pihak berkuasa tempatan khusus di kawasan majoriti bukan Islam,” katanya.