KUANTAN, 14 Jan – BERSATU perlu mengambil iktibar atas apa yang berlaku kepada UMNO selepas penolakan sokongan pengundi Melayu.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mengingatkan perkara yang sama boleh berlaku kepada PN sekiranya tidak berhati-hati.

Beliau melihat situasi yang berlaku di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 sebagai kritikal dan masalah sama boleh berlaku dalam BERSATU jika pimpinan parti terbabit tidak mengambil iktibar.

“Kami melihat apa yang berlaku di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dengan kritikal, sebab apa yang berlaku dalam UMNO (sekarang) boleh terjadi kepada BERSATU. Kalau kami tidak jaga, perkara sama boleh berlaku pada kami juga, jadi kami bukan bersorak dengan apa yang berlaku di PWTC ketika ini.

“Kami kena belajar, jangan pula kami buat benda yang sama. Kami boleh gembira kerana sokongan orang melayu semakin meningkat, tapi tidak boleh pula kami seronok sangat sebab UMNO dulu seperti kami juga iaitu juara untuk mewakili suara orang melayu, sekarang kami mewakili suara orang melayu. Jadi, kami kena belajar dari kesilapan-kesilapan UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas program IM Dialog, perkembangan terbaru dan isu-isu lain di pejabat Pusat Khidmat Parlimen Indera Mahkota, di sini pada Sabtu.

Saifuddin yang merupakan Ahli Parlimen Indera Mahkota menjelaskan UMNO tidak sepatutnya menyalahkan orang lain apabila parti itu semakin kehilangan sokongan orang Melayu.

Beliau menyifatkan PAU yang berlangsung pada ketika ini sebagai ‘kelam-kabut’ dan berpendapat ucapan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan ketika merasmikan perhimpunan pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno pada Rabu lalu sebagai memalukan.

“Saya lihat PAU kali ini agak kelam kabut, dia (Mohamad) bermula dengan menuduh 10 Ahli Parlimen sebagai pengkhianat, tetapi tidak pula disoal mengapa sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ada perjanjian sulit antara Datuk Seri Najib (Razak), Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya fikir itu persoalan yg perlu dijawab.

“Dan saya rasa ahli UMNO tentu terkilan dengan kenyataan Mohamad yang mengatakan sekian lama Umno berjuang, tetapi sokongan orang Melayu semakin berkurangan.

“Sebenarnya sokongan orang Melayu semakin berkurangan bukan sebab orang lain dan tiada kena mengena dengan DAP, itu adalah kerana kelemahan Umno sendiri, amat memalukanlah apabila Timbalan Presiden UMNO merasa dah tak boleh berjuang untuk orang Melayu,” jelas beliau.

Saifuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut berkaitan hal dalaman UMNO kerana dia bukan ahli parti berkenaan.

Ketika ditanya mengenai pergolakan politik berlaku di Sabah baru-baru ini, Saifuddin mempersoalkan pihak mana yang sebenarnya belum bergerak ke hadapan selepas PRU15.

“Kami dah reda jadi pembangkang, kami nak lihat ketenangan politik wujud, tapi apa yang berlaku di Sabah, siapa yang belum bergerak ke hadapan?

“Nampaknya orang yang selama ini kata sudah bergerak ke hadapan’ (tapi) tetapi tidak sebenarnya sedangkan kami sudah isytiharkan kami ini pembangkang,” katanya.