KUALA LUMPUR, 14 Jan – PAS mempertikai ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Forum CTCORP Leadership di Indonesia, baru-baru ini, kerana mengguris dan merendahkan daya intelektual rakyat negara ini khasnya anak muda.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khairudin berkata dalam forum itu, Anwar membicarakan mengenai soal kelangsungan dan juga bagaimana rakyat hari ini khasnya anak muda kurang membaca dan tidak ada nilai serta merujuk kepada suara hati anak muda di Tik Tok.

“Kenyataan dibuat Anwar di forum berkenaan dilihat merendahkan daya intelektual anak muda, khususnya generasi Tik Tok yang menyuarakan penolakan terhadap Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Kenyataan ini sedikit sebanyak mengguris dan merendahkan daya intelektual rakyat khasnya anak muda ketika ini yang secara majoritinya menolak kepimpinan PH-BN mengikut keputusan PRU-15 yang lalu.

“Generasi Tik Tok yang sebulat suara menolak PH-BN ini sebenarnya adalah mereka yang intelektual namun cara mereka mengekspresi luahan mereka dengan menggunakan Tik Tok amat tidak disenangi oleh PH-BN yang gagal menjawab persoalan dibangkit TikTokers khasnya mengenai isu rasuah juga skandal moral pemimpin PH-BN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairil Nizam yang juga ahli Parlimen Jerantut mengingatkan Anwar yang membicarakan soal adab pada forum berkenaan sebenarnya memberi tamparan kepada beliau sendiri.

“Apabila PM berbicara soal adab kononnya, ia sebenarnya satu tamparan kepada beliau sendiri yang mana meninggalkan jauh adab apabila pernah menuduh Tuan Guru Presiden PAS (Tan Sri Abdul Hadi Awang) fitnah beliau kononnya akan bersama BN selepas PRU-15.

“Kebenaran pasca PRU-15, PH benar-benar memilih kleptokrat yang digelar sebagai penyamun ‘hoi ya hoi’ itu menjadi gabungan bagi membentuk kerajaan Pusat.

“Di mana nilai adab PM bila mana terlalu banyak berbohong? Inikah yang mahu beliau tunjuk kepada rakyat yang dikatakan sebagai beradab? Malah janji sebelum PRU-15 mahu mengutamakan kebajikan rakyat hingga kini masih tinggal janji walau lebih sebulan kerajaan PH-BN dibentuk.

“Usah berkokok di padang lain (di negara jiran) sedang ekor bergelumang najis di negara sendiri,” katanya.