Benarkah Kerajaan PH-BN gagal hentikan Kapal-Kapal China Ceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia?

Saya menerima maklumat yang meresahkan, yang memerlukan jawapan dan tindakan segera daripada Perdana Menteri, Menteri Pertahanan dan juga Menteri Luar iaitu siri pencerobohan terbaharu kapal-kapal pengawal pantai China di sekitar Hempasan Bantin (Luconia Breakers) iaitu sebahagian daripada gugusan Benting Patinggi Ali, yang sememangnya kaya dengan khazanah minyak dan gas negara.

Jika benar laporan pencerobohan oleh kapal-kapal CCG5901, CCG4301 dan CCG5305 ini, yang maklumat mengenainya boleh diperolehi melalui Open Source Intelligence (OSINT), kenyataan tegas serta pendirian rasmi wajib dibuat Perdana Menteri, penjelasan terperinci juga perlu dilakukan Kementerian Pertahanan dan langkah bantahan diplomatik mesti dilunaskan Kementerian Luar.

Apakah benar ada di antara tiga kapal ini berada dalam perairan negara selama 25 hari? Apakah benar ada di antara tiga kapal ini pernah terlibat dalam insiden dengan nelayan Vietnam di Woody Island, Kepulauan Paracel, pada 2020 sehingga mengakibatkan bot nelayan Vietnam tenggelam? Jika maklumat ini benar, ia merupakan suatu perkara serius yang mesti diberi perharian segera.

Kekuatan serta kesiapsiagaan pertahanan negara perlu diperkasakan sesegera mungkin bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini. Harus diingat, langkah diplomasi perlu seiring dengan kekuatan pertahanan bagi membolehkan military diplomacy dijayakan agar tiada mana-mana pihak dilihat berani membuli kita.

Dalam hal ini, saya bersetuju dengan gesaan daripada ATM bahawa Perdana Menteri perlu menimbang menaikkan bajet untuk keperluan pertahanan dan keselamatan negara kepada 1.5 peratus daripada KDNK dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan Februari nanti memandangkan 61 peratus daripada aset-aset TLDM sudah usang dan beroperasi dalam keadaan melebihi had umur rekabentuk, antaranya Kapal (Fast Attack Craft) FAC kita yang sudah berusia 50 tahun.

Kepada kerajaan, ini adalah masa bekerja yang memerlukan kepada tindakan serta hasil. Rakyat mahu melihat hasil serta perubahan positif dengan kadar segera, bukan lagi hanyut dalam isu-isu remeh atau khayal dengan bahasa-bahasa bombastik tetapi tidak memberi sebarang kesan kepada rakyat.

YB Komander Nordin Bin Ahmad Ismail TLDM (Bersara)
Ahli Parlimen Lumut
15 Januari 2023