BANYAK perkara menarik yang berlaku di perhimpunan agung khas parti tuutt itu yang berakhir semalam.

Biasalah. Sejak dahulu memang begitu. Perhimpunan agung bagi mereka adalah pentas sandiwara, tempat di mana masing-masing pakat berlumba untuk mempamerkan lakonan terbaik.

Yang paling menarik bagi saya bukanlah soal keputusan mereka untuk tidak mempertandingkan jawatan nombor satu dan nombor dua. Itu hal rumah tangga mereka, biarkanlah.

Yang saya nak sentuh sikit adalah mengenai ucapan orang nombor dua parti tuuut itu yang berapi-api menyeru ahli-ahli sayap partinya supaya membanteras politik wang.

Ia ucapan serius yang penuh jenaka.

Sesiapa di kalangan kita yang pernah bersama dengan parti itu tentu masih ingat bahawa masalah politik wang dalam kalangan mereka bukan baru bermula. Ia telah diperkatakan sejak belum wujud team A dan team B, dan terus diperkatakan waktu seorang ‘pak sheikh’ mencabar timbalan presiden ketika itu untuk jawatan nombor dua.

Isu itu kemudiannya terus berbangkit dan bangkit dan bangkit.

Bagi yang masih ingat, pada perhimpunan 1996 ada satu ucapan yang sungguh menarik daripada perwakilan Selangor, Datuk Mufti Shuib (1940-2008), bekas ADUN Ampang dari 1986-2004, dan ketua bahagian dari 1986-2008, kalau saya tak silap.

Dalam ucapannya Mufti berkata kalau parti tuut itu serius hendak membersihkan parti dari politik wang, maka kebanyakan ahlinya, termasuk dalam Majlis Tertinggi, patut ditangkap!

Dan hari ini, selepas berpuluh tahun, mereka masih bercakap tentang politik wang.

Demikianlah seriusnya barah yang mereka alami.

Kenapa saya nak ulas isu ini? Apa kaitannya dengan saya? Kenapa perlu campur hal rumah tangga orang?

Jawapannya, sebab mereka tidak henti-henti cuba mengheret rumah tangga saya, parti saya dan gabungan yang parti saya anggotai ke kancah masalah mereka.

Sejak selepas PRU15 ada suara-suara daripada parti tuut itu yang menuduh kekalahan besar mereka disebabkan oleh politik wang. Sasaran tuduhan mereka tentulah PN.

Macam-macam dakwaan mereka buat. Dari sogok duit tambang kepada pengundi, duit minyak sehinggalah membeli undi.

Semua dakwaan itu bagaimanapun tidak ditampilkan dengan bukti sahih. Setakat tembak rambang, sebahagiannya berdasarkan klip-klip video yang sesiapa pun boleh buat.

Yang peliknya mereka tidak pula berlumba-lumba membuat laporan kepada pihak berwajib. Yang lebih pelik lagi kebanyakan dakwaan tentang PN amalkan politik wang itu hanya datang dari mereka, bukan daripada PH yang merupakan saingan utama PN. PH lebih cenderung menuduh PN menang besar sebab menggunakan retorik perkauman. Kita boleh terima dakwaan itu kerana kalau memperjuangan hak bangsa sendiri tanpa mempertikai hak orang lain itu dianggap perkauman, maka memang ‘perkauman’lah kami.

Melihat pada keadaan itu sesiapa pun boleh membuat kesimpulan bahawa parti-parti lain menerima kalah dan menang secara gentleman.

Sebaliknya parti tutt itu dahulu kini dan selamanya begitu. Mereka tidak pernah mengaku salah. Mereka tidak boleh menerima hakikat yang mereka telah ditolak oleh rakyat, khususnya orang Melayu dan umat Islam, disebabkan itu mereka menyasarkan kesalahan kepada pihak lain khususnya PN yang merupakan musuh yang paling mereka geruni.

Untuk menutup kelemahan sendiri mereka menghina rakyat terutama pengundi muda, seolah-olah anak muda itu tidak mempunyai harga diri dan boleh dijual beli. Untuk menjustifikasikan amalan politik wang yang telah berakar umbi dalam parti mereka, maka mereka menuduh pihak lain melakukan perkara yang sama.

Saya yakin strategi menyebar fitnah dan tohmah ini akan berterusan bagi tujuan dijadikan modal untuk PRN di enam negeri nanti. Jadi kita yang dalam PN harus bersedia menghadapinya. Jangan benarkan dakwaan karut ini berakar umbi. Setiap kali muncul, sama-samalah kita pakat sanggah.

Kita perlu buktikan bahawa perjuangan kita adalah berasaskan kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk mengangkat ABATA, bukannya untuk membesarkan tembolok dan membuncitkan perut. Kita bukan parti kaya. Baik Bersatu, PAS, mahupun rakan-rakan gabungan lain tidak menjadikan wang ringgit sebagai senjata perjuangan. Bekal kita adalah iltizam dan semangat selain sokongan berterusan yang sentiasa berkembang subur daripada rakyat yang sudah lelah dengan politik yang bertunjangkan kepalsuan dan bersaksikan haloba serta hawa nafsu.

Saya akui masih ada pemimpin dan ahli parti tuut itu yang tidak terheret sama dengan gerombolan pemimpin mereka yang semakin jauh dihanyutkan arus. Masih ada yang berjuang dengan ikhlas. Masih ramai yang bijak, waras dan rasional.

Malangnya mereka berada dalam pasukan yang salah.

Mereka inilah yang perlu kita selamatkan.

Penulis adalah Lt Kolonel Bersekutu (PA) Abdul Razak Khamis, merupakan Ketua Bahagian BERSATU Pendang. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Berita BERSATU.