KUALA LUMPUR, 16 Jan – Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, mencadangkan Dewan Negara dan Dewan Rakyat membentuk jawatankuasa bersama dalam usaha membantu serta menangani isu berkaitan rakyat.

Beliau berkata, ia termasuk pembentukan Jawatankuasa Kesejahteraan Rakyat dan Jawatankuasa Antirasuah.

“Pembentukan kerjasama seumpama ini diharap dapat menjadikan Parlimen sebuah institusi sandaran dan harapan untuk rakyat menyuarakan permasalahan dihadapi yang memerlukan perhatian pemimpin negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Rais menerima kunjungan hormat dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, iaitu Datuk Ramli Mohd Nor dan Alice Lau Kiong Yieng, di Parlimen, hari ini.

Pada pertemuan itu, Rais antara lain menerangkan kedudukan transformasi Parlimen yang sedang dilaksanakan, dengan Parlimen dalam proses melakukan beberapa pindaan terhadap akta seperti Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Pada masa sama, Parlimen turut berhasrat mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. Penggubalan Kod Etika Ahli Parlimen juga dilihat mampu melancarkan perjalanan sidang dewan,” katanya.

Beliau berkata, pembabitan kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu amat diperlukan untuk merealisasikan hasrat berkenaan.