KUALA LUMPUR, 17 Jan – Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menyarankan agar pembayaran terus ke akaun bank murid dapat dipergiatkan selepas kejadian wang tunai bagi bantuan awal persekolahan berjumlah RM109,000 hilang dilarikan penjenayah di Semenyih pada Isnin.

Mohd Radzi yang juga Naib Presiden BERSATU berkata, sewaktu menerajui Kementerian Pendidikan, beliau amat menggalakkan usaha supaya bayaran bantuan awal persekolahan dibuat terus menerusi akaun bank murid.

“Pendekatan memasukkan terus bantuan ini ke akaun bank murid dapat meningkatkan produktiviti dan menjimatkan masa banyak pihak.

“Ibu bapa tidak perlu datang beratur di sekolah. Guru pula tidak perlu menguruskan pemberian bantuan di sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohd Radzi berkata, apabila perkara itu dibuat secara manual di sekolah, ibu bapa perlu menandatangani beberapa helaian kertas di samping guru perlu memastikan proses dilaksanakan satu persatu.

“Pembayaran ke akaun murid juga memastikan tatacara pengurusan kewangan yang teratur dan selamat. Ini dapat mengelakkan kejadian kehilangan tunai seperti mana yang berlaku semalam (Isnin) berulang.

“Sekiranya pembayaran tunai perlu dibuat, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mestilah dipatuhi oleh ketua jabatan mengikut Arahan Perbendaharaan (AP) 137 – Tanggungjawab Bagi Wang Tunai Dalam Perjalanan,” jelasnya.