Saya membaca laporan komen YAB Dato Seri Anwar Ibrahim yang bunyinya tidak bersetuju dengan rayuan rakyat untuk mengeluarkan dana KWSP demi memastikan kelangsungan hidup.

https://www.sinarharian.com.my/article/240855/berita/nasional/kerajaan-cari-alternatif-selain-pengeluaran-kwsp

Saya bersetuju bahawa kerajaan mesti mencari penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi kenaikan kos sara hidup yang semakin meruncing. Selama berpuluh tahun Anwar berceritera mengenai betapa banyaknya idea yang akan dia bawa apabila menjadi Perdana Menteri. Sekaranglah masanya untuk melaksanakan semua itu. Kenapa masih tercari-cari idea lagi? Adakah selama ini hanya berlakon tapi rupa-rupanya tiada idea? Kerajaan ini semakin hari semakin tidak kompeten menjaga kebajikan rakyat.

Saya telah dikunjungi oleh beberapa pengadu di Pusat Khidmat saya di Tasek Gelugor. Dan sebelum ini saya juga telah menerima memorandum daripada Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIR). Mereka mahu dibenarkan mengeluarkan dana KWSP yang sebenarnya adalah milik dan hak mereka. Saya sayu apabila ada yang menceritakan betapa mereka tidak mampu membeli makanan atau pakaian anak-anak sehingga ada yang menghadapi tekanan jiwa.

Saya faham kebimbangan Anwar mengenai masa depan pencarum. Dan saya juga faham kesusahan pencarum yang bimbang mengenai kehidupan hari ini yang semakin meruncing. Saya harap Anwar faham bahawa tuntutan masa depan dan tuntutan semasa mestilah diseimbangkan.

Secara umumnya, saya berpandangan bahawa cadangan yang wajar diambil serius oleh pihak kerajaan ialah cadangan untuk membenarkan pengeluaran secara bersasar. Penentuan sasaran dan kriteria pengeluaran mesti dikaji dengan mendalam. Tapi jangan biarkan rakyat menderita dan sengsara hari ini, padahal mereka ada wang milik sendiri dalam akaun KWSP yang kerajaan halang mereka keluarkan.

Kaedah yang dipelopori sewaktu era Tan Sri Muhyiddin Yassin iaitu pengeluaran bersasar dan pengeluaran dalam jumlah berperingkat boleh menjadi landasan bagi Anwar.

Oleh kerana perkara ini ada disuarakan oleh warga Tasek Gelugor, insha Allah saya akan cuba membawa isu ini ke sidang parlimen nanti. Dan saya harap Kerajaan akan menyentuhnya dalam pembentangan Belanjawan 2023.

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ahli Parlimen Tasek Gelugor
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia
17 Januari 2023