KUALA LUMPUR, 18 Jan – Perikatan Nasional (PN) mendakwa ada pihak sengaja mewujudkan persepsi negatif susulan wakil rakyat parti itu bertutur dalam bahasa Inggeris ketika bertemu dengan penduduk luar bandar.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan, Mahathir Md Rais berkata, tindakan itu dilihat sengaja mahu melagakan pemimpin dan penyokong PN di kawasan luar bandar.

“Persepsi mereka ialah penyokong PN tidak tahu berbahasa Inggeris. Salahkah kami menyampaikan mesej kepada penduduk dalam bahasa Inggeris?” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, anggapan kononnya penyokong PN adalah dari kawasan luar bandar semata-mata juga tidak benar.

Jelas Mahathir, penyokong PN boleh bertutur dengan baik dalam bahasa Inggeris dan Melayu walaupun mereka tinggal di lokasi yang berlainan.

“Bahasa itu tidak penting, sebaliknya keluh kesah rakyat dapat didengari dan kami dapat berkomunikasi dengan baik,” katanya.

Tambahnya, penggunaan media sosial juga adalah salah satu cara bagi menyampaikan mesej dan kebimbangan antara satu sama lain.

“Baik bahasa Melayu atau Inggeris, setakat ini kami tidak ada dengar aduan dan kedua bahasa ini kami gunakan untuk memberi penerangan kerana inilah cara kami turun ke bawah bertemu rakyat,” katanya.