KUALA LUMPUR, 20 Jan – Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU 2022 akan diadakan pada 3 hingga 5 Mac ini.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata perkara itu ditetapkan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang diadakan semalam dan selaras dengan Fasal 12.2 Perlembagaan parti berkenaan.

Beliau juga memaklumkan Persidangan Cawangan 2023 akan diadakan pada 1 Julai hingga 31 Ogos, Persidangan Sayap-Sayap Bahagian pada 7 Oktober, Persidangan Bahagian pada 21 Oktober dan Perhimpunan Agung Tahunan 2023 dari 23 hingga 25 November ini.

“Sehubungan itu, pemilihan bagi Ahli Jawatankuasa Cawangan, Bahagian dan Ahli MPT bagi penggal yang baharu akan diadakan pada tarikh-tarikh seperti di atas selaras dengan perlembagaan parti,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Hamzah berkata, MPT juga membincangkan laporan pascanilai keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 dan strategi parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri akan datang.