Saya cukup terhibur bila dengar kenyataan Fuziah Salleh, Timbalan Menteri KPDN yang mengatakan “Kita tidak boleh hendak paksa dia (ayam) bertelur…”

Siapa pulak yang kata bahawa kerajaan kena paksa ayam bertelur? Ini sudah masuk tahap kompetensi aras tinggi seperti Rafizi Ramli dan formula “by right” rakyat jangan makan ayam.

Saya nak tanya, kalau ayam Malaysia belum bertelur, mana pula datangnya telur ayam yang berbondong-bondong dieksport ke Singapura? Saya harap tak ada Menteri-Menteri PH-BN yang tidak kompeten ini nanti jawab bahawa “by right” kita tak boleh paksa ayam Malaysia bertelur untuk pasaran domestik sebab ayam-ayam ini lebih suka pasaran eksport.

Sebelum jadi kerajaan bukan main sembang pandai semua perkara, tapi rupanya semuanya tin kosong seperti boss mereka juga.

Saya mendesak Menteri jelaskan kepada rakyat berapa jumlah sebenar eksport telur Malaysia sekarang ini? Sebab sehingga kini kita belum pernah dengar bekalan telur eksport bermasalah. Kenapa eksport boleh tapi bekalan domestik tak selesai?

Jelaskan juga berapa jumlah keseluruhan pengeluaran telur oleh 5 syarikat pengeluar telur terbesar tempatan iaitu:
QL Resources Berhad.
LTKM Berhad.
CCK Consolidated Holdings Berhad.
Lay Hong Berhad.
Teo Seng Capital Berhad.

Mengikut Perangkaan Ternakan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, kadar pengeluaran telur negara pada tahun 2021 adalah 13,955,240,660 bilion biji telur. Ini hampir 14 bilion biji. Satu jumlah yang besar.

https://www.dvs.gov.my/dvs/resources/user_1/2022/BPSPV/Perangkaan%202021.2022/1)_Buku_Perangkaan_Ternakan_2021_2022_Keseluruhan.pdf

Jika mengambil kira penggunaan telur oleh rakyat Malaysia berjumlah 30 juta sehari atau 930 juta sebulan seperti diberitahu KPDN, jumlahnya hanya 11.16 bilion biji telur. Maksudnya, kalau pengeluaran 14 bilion biji tapi penggunaan hanya 11.16 bilion biji, maka seharusnya bekalan kita cukup, bukan kurang.

Sebab itu perlu ketelusan dalam hal ini. Menteri perlu segera jelaskan perangkaan sebenar jumlah pengeluaran telur tempatan dan berapa pula jumlah telur eksport? Perlu jelaskan kenapa sebenarnya bekalan domestik tak cukup. Jangan sembunyikan fakta dan jangan cuba lindungi sesiapa.

Perlu juga jelaskan kepada rakyat syarikat mana yang diberikan AP import oleh kerajaan PH-BN ini? Dan apakah dengan jaminan Fuziah Salleh bahawa dalam masa 2 bulan lagi bekalan telur akan pulih, AP Import ini akan dihentikan pada April ini? Kerana kita tidak mahu ada pula kroni baru PH-BN mengambil keuntungan daripada kesengsaraan rakyat.

Menteri-menteri PH-BN masih tidak kompeten bekerja untuk rakyat. Berhentilah tunjuk tidak kompeten dengan idea seperti tak boleh paksa ayam bertelur dan rakyat jangan makan ayam. Kamu dah jadi kerajaan. Cuba buat kerja betul-betul.

DATUK WAN SAIFUL WAN JAN
Ahli Parlimen Tasek Gelugor
Ketua Penerangan BERSATU Malaysia