KUALA LUMPUR, 22 Jan – Armada BERSATU Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab ahli politik Sweden, Rasmus Paludan membakar kitab Al-Qur’an yang jelas menzahirkan sifat Islamofobia yang nyata.

Ketua Armada BERSATU Malaysia, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata tindakan ini hanya mengeruhkan lagi keadaan hubungan antara agama dan masyarakat Islam di Eropah, khususnya di Sweden serta membangkitkan sentimen perkauman dan anti-Islam yang dahsyat khusus ke atas kaum migran beragama Islam.

“Kerajaan Sweden perlu mengecam dan mengambil tindakan tegas ke atas Rasmus Paludan dan konco-konconya sebelum keadaan menjadi lebih parah.

“Hak kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghinjak maruah dan kesucian agama lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Sabtu, pemimpin parti politik sayap kanan Denmark Hard Line, Rasmus Paludan menyertai bantahan di hadapan Kedutaan Turkiye di Stockholm, bertindak membakar al-Quran dengan pemetik api.

Dia bersama kira-kira 100 orang yang berhimpun itu berbuat demikian selepas Turkiye dilaporkan membantah keanggotaan penyertaan Sweden dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).