KUALA LUMPUR, 22 Jan – Perikatan Nasional (PN) sedang meneliti calon yang tepat dan mampu memang untuk diketengahkan pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri yang akan diadakan selewat-lewatnya Julai ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, gabungan itu amat berhati-hati dalam proses rundingan atau pemilihan calon supaya hanya individu yang mampu menang akan disenarai pendek.

“PN mahu menang di Selangor, Negeri Sembilan dan tidak mustahil juga boleh menang di Pulau Pinang.

“PN perlu memastikan semua calon yang akan bertanding kali ini bukan sahaja boleh diterima oleh orang Melayu tetapi juga diterima baik oleh bukan Melayu terutamanya di tiga negeri yang dikuasai oleh PH ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina PN di Ruang Legar Menara PGRM, di sini, hari ini.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung BERSATU berkata, PN optimis mampu meraih kemenangan di tiga negeri dikuasai PH dan meneruskan penguasaannya di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Untuk rekod, terdapat enam negeri terbabit dengan PRN, yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Julai tahun ini iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu

Sementara itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (GERAKAN), Datuk Dr Dominic Lau, turut menegaskan prinsip utama rundingan parti itu adalah memastikan kemenangan berpihak kepada PN.

Beliau yang juga Pengerusi PN Pulau Pinang, berkata ketika ini rundingan di antara parti komponen masih berjalan.

“Siapa yang akan jadi calon, bukan isu besar. Apa yang lebih penting siapa yang mewakili PN untuk menang kerusi.

“Ini adalah prinsip utama kami (GERAKAN). Kita akan (tetap) bertanding mewakili PN tetapi paling penting perlu menang pada PRN depan,” katanya.