Anjurkan satu konvensyen lebih baik daripada penyerapan pakar-pakar asing dlm Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Pandangan Dr Muhammad Faiz Na’aman tentang penyerapan pakar perumahan Singapura di dalam KPKT adalah bernas, tepat dan wajar diberi sokongan.

Mungkin ada udang di sebalik batu.

Ertinya, pihak menteri tidak faham lagi bahawa sistem pemerintahan di negara ini jauh lebih berbeza dan lebih rumit daripada apa yang ada di Singapura!

Lihat saja di negara ini ada 3 jenis kerajaan yang masing-masing mempunyai kuasa atau bidang kuasa yang berbeza-beza ke atas sesuatu projek perumahan iaitu kerajaan pusat, kerajaan-kerajaan negeri dan kerajaan-kerajaan tempatan (dewan bandaraya atau majlis-majlis perbandaran).

Di Singapura, senang saja. Hanya satu lapis kerajaan saja. Bila diputuskan tentang sesuatu, ia terus dilaksanakan hingga ke bawah tanpa apa-apa bantahan atau percanggahan kuasa dengan mana-mana pihak berkuasa yang lain.

Apa yang perlu dilakukan oleh menteri adalah anjurkan satu konvensyen perumahan nasional di kalangan pemaju perumahan dari seluruh negara, dengan penyertaan perwakilan dari kerajaan-kerajaan negeri dan juga kerajaan-kerajaan tempatan serta fokus dalam perbincangan terhadap penilaian semula Dasar Perumahan negara yang sedia ada, kelemahan-kelemahan yang ada yang tidak boleh diatasi dan bagaimana caranya untuk mengatasi segala kelemahan-kelemahan dan halangan-halangan ini.

Dengan pendekatan seperti ini barulah boleh dikatakan penyelesaian masalah perumahan ala Malaysia secara komprehensif dan bersepadu.

Masalahnya di Malaysia ini ramai pemimpinnya tidak patriotik.

Penulis adalah Tan Sri Rahim Thamby Chik, mantan Ketua Menteri Melaka yang kini berjuang bersama BERSATU. Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Berita BERSATU.