BARU-BARU ini, saya menyerahkan borang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Wan Fayhsal Wan Ahmad Kamal di pejabat Bersatu Bahagian Titiwangsa. Saya mengambil keputusan untuk berkecimpung dalam dunia politik setelah merasakan sudah bersedia untuk membawa pandangan dan suara rakyat ke peringkat lebih tinggi.

Percayalah cakap saya, kalau hanya menumpukan perjuangan di TikTok semata-mata, maka ia hanya akan menjadi kata-kata kosong, retorik dan fantasi yang tidak akan pernah berlaku. Apa gunanya video-video saya sentiasa tular tetapi tidak ada yang akan melaksanakannya? Ia cukup sia-sia.

Namun, penyertaan dalam Bersatu menyebabkan netizen terutama para penyokong dan pengikut saya berbelah bahagi. Ada yang sokong, ada yang menentang, ada juga yang bersikap neutral. Tidak kurang juga yang selama ini bersama kini meninggalkan saya kerana tidak dapat menerima penyertaan saya ke dalam Bersatu.

Netizen harus faham, sampai bila-bila pun saya akan mengatakan bahawa parti politik hanyalah sekadar platform untuk mengubah hidup dan mengangkat martabat rakyat. Tidak kisahlah parti apa pun, ideologi apa pun, kerana pada akhirnya tujuan utama setiap parti politik ialah untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Ramai menjangkakan saya akan menyertai salah sebuah parti dalam Pakatan Harapan (PH) apabila melihat cara berfikir dan sikap kritikal saya terhadap orang Melayu selain mengangkat konsep bangsa Malaysia. Namun, ternyata jangkaan mereka itu meleset kerana saya menyertai sebuah parti yang didakwa sangat ‘rasis’, iaitu Bersatu.

Antara sebab saya mengambil keputusan untuk bersama Bersatu ialah parti ini dilihat semakin mendapat tempat dalam kalangan orang Melayu. Atau dalam erti kata lain, Bersatu berada dalam fasa menggantikan UMNO sebagai ‘juara’ orang-orang Melayu. Ini bukan cakap kosong tetapi ia telah terbukti pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

Maka penyertaan dalam Bersatu dilihat sangat tepat kerana niat utama saya ialah untuk mengubah cara berfikir dan cara berpolitik orang-orang Melayu supaya lebih terbuka dan meninggalkan cara berpolitik lama yang tertumpu kepada ketaksuban ke atas kaum sendiri, prejudis terhadap kaum-kaum lain dan taksub ke atas pemimpin parti sendiri.

PAYUNG

Pemikiran orang Melayu harus diubah kerana mereka adalah penduduk majoriti selain kepimpinan negara juga dipegang oleh orang-orang Melayu. Kaum bukan Melayu tidak perlu resah dan bimbang kerana prinsip saya untuk menyatupadukan seluruh rakyat tetap sama dan tidak akan berubah. Kalau kaum majoriti masih tidak dapat menerima konsep perpaduan di bawah satu payung yang sama, maka bagaimana saya ingin memperjuangkan kaum-kaum lain?

Selain itu, saya cukup tertarik dengan Sayap Bersekutu Bersatu yang membuka keahlian kepada kaum bukan Melayu. Ini secara jelas menunjukkan bahawa Bersatu bukanlah parti untuk orang Melayu semata-mata, tetapi ke arah parti berbilang kaum yang lebih tersusun.

Oleh itu, saya bertekad untuk memfokuskan Sayap Bersekutu Bersatu ini dalam membawa lebih ramai orang bukan Melayu terutama orang Cina dan India untuk turut bersama dalam perjuangan Bersatu. Dari Sayap Bersekutu ini juga, kaum Cina dan India boleh menyuarakan segala isi hati dan mengangkat isu-isu membabitkan kaum mereka. Saya menyeru rakan-rakan bukan Melayu untuk menyertai Bersatu.

Semua orang pun telah sedia maklum bahawa saya bukanlah datang dari ahli keluarga yang berkecimpung dalam dunia politik. Saya tidak pernah ada pengalaman dan tidak mengenali ramai ahli politik. Dalam erti kata lain, saya datang dari keluarga B40 yang turut berhempas pulas untuk menyara kehidupan sendiri.

Saya nak hantar mesej pada rakyat bahawa orang miskin sahajalah yang mampu mengubah nasib orang miskin. Kalau orang miskin tak nak masuk politik, maka politik hanya akan diisi oleh golongan elitis dan mereka yang tamak inginkan kuasa dan wang ringgit, maka sampai bila-bila pun kehidupan orang miskin tidak akan berubah sama sekali. Tidak ada gunanya jika orang-orang miskin saban hari meluahkan keluhan di kaki jalanan dengan mengangkat poster mengecam pemerintah dan sekadar memaki hamun dalam media sosial kerana ia sama sekali tidak akan membawa apa-apa perubahan. Nak tak nak, kena masuk politik juga. Bab naik atau jatuh dalam politik itu belakang cerita, yang penting masuk dahulu.

Objektif lain saya dalam politik ialah untuk membantu golongan kelas pekerja seperti penoreh getah, nelayan, petani, pemandu lori, pekerja pembersihan, buruh dan sebagainya. Kenapa kumpulan ini? Kerana kumpulan ini sering dilihat sebagai tiada nilai dalam masyarakat. Mereka ditindas tetapi tidak tahu bagaimana cara untuk mendapatkan keadilan dan kebanyakan ahli politik langsung tidak memfokuskan kepada mereka. Sedih bila memikirkan bagaimana sebahagian ahli politik yang langsung tidak endah keluhan pekerja pembersih longkang yang dibayar gaji sedikit dan ada juga yang langsung tidak dibayar.

Nak jadi pemimpin, kena sentiasa berpihak pada golongan majoriti iaitu B40. Sekarang anda sudah jelas dengan perjuangan saya dalam politik? Kalau sudah jelas, maka saya nak mengajak anda semua untuk turut bersama saya bagi mengubah nasib dan kehidupan kita dan orang lain.

Penulis adalah Thaqib Shaker, seorang pemerhati isu tempatan dan antarabangsa. Beliau juga pernah menghasilkan artikel rencana dan menerbitkan beberapa naskah buku.